Jumaat, 29 Januari 2021

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia jatuh enam tangga

Oleh Metra Syahril Mohamed
KES berprofil tinggi berkaitan rasuah menjadi antara punca Indeks Persepsi Rasuah Malaysia menurun.

PETALING JAYA: Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020.

Bagi 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.

Presiden TI Malaysia, Dr. Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

“Kita mungkin jatuh dua mata yang secara statistiknya tidak signifikan, tetapi kita harus bimbang dengan penurunan skor dan kedudukan.

“Kita perlu pertingkatkan lagi dan saya yakin kita boleh melakukan yang lebih baik daripada negara seperti Rwanda dan Poland,” katanya dalam sidang akhbar secara maya mengumumkan CPI Malaysia 2020.

CPI dikeluarkan TI, sebuah gabungan antirasuah global hari ini.

Muhammad berkata, New Zealand dan Denmark berkongsi tangga pertama manakala Syria, Sudan Selatan dan Somalia berada di kedudukan terbawah.

Dalam kalangan negara ASEAN, Singapura berada di kedudukan teratas diikuti Brunei.

Singapura satu-satunya negara Asia yang berada di kedudukan 10 teratas.

Muhammad memberitahu, kedudukan Malaysia menurun ekoran beberapa kes berprofil tinggi.

Sebab lain termasuk akses terhad kepada maklumat mengenai perkara kepentingan awam, skandal daging tidak halal, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh penjawat awam yang berterusan, perkembangan atau kemas kini kes berprofil tinggi yang terhad dan kerajaan masih belum membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Awam.

Bagaimanapun katanya, komitmen kerajaan pada masa ini untuk meneruskan agenda memerangi rasuah termasuk mewartakan tarikh 1 Jun 2020 untuk Liabiliti Korporat dan meneruskan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) oleh kerajaan terdahulu wajar dipuji. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: