Sabtu, 30 Januari 2021

Dakwah boleh dilakukan ketika darurat, wabak - Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Pendakwah perlu lebih proaktif memperkenalkan Islam walaupun dalam keadaan situasi terdesak seperti darurat dan wabak, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, di dalam Islam, dakwah boleh dilakukan dalam apa juga suasana sama ada ketika waktu aman, darurat mahu pun dilanda wabak, tetapi pendakwah perlu kreatif dengan menggunakan amal kebajikan untuk menarik orang kepada Islam.

"Berdakwahlah menggunakan amal kebajikan kerana ia boleh menarik orang kepada Islam.

"Inilah masa kita memperkenalkan Islam kerana dakwah itu bukan sekadar bersyarah saja, tetapi memberikan khidmat kepada masyarakat seperti bantuan perubatan, khidmat sosial, memberi nasihat dan sebagainya," katanya berucap menutup webinar 'Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), yang diadakan secara dalam talian, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, darurat dan wabak yang berlaku kini adalah ujian Allah untuk menguji serta mendidik kesabaran manusia.

Katanya, pada masa sama, ia mendidik manusia menggunakan akal fikiran bagi mengkaji dan menyelidik cara untuk melepaskan diri daripada wabak.

"Darurat dan wabak ini mendidik diri untuk menolong orang lain, membuat kebajikan bagi menolong mereka yang menghadapi wabak dan kesusahan," katanya.

Beliau berkata, khidmat kepada orang lain bukan hanya mendapat pahala, tetapi mendidik diri bersyukur dan bersabar selalu.

"Ilmu dan hasil kajian bukan hanya memberi pahala dan manfaat kepada masyarakat, tetapi juga melaksanakan dan mengembangkan lagi ajaran Islam," katanya.

Abdul Hadi berkata, pendakwah dinasihat tidak jumud dan duduk saja dalam suasana wabak serta darurat, sebaliknya perlu terus berusaha menyebarkan ajaran Islam.

Beliau berkata, YADIM sebagai organisasi dakwah juga berperanan besar memberi kefahaman mengenai darurat yang masih tidak difahami ramai.

"Pelaksanaan darurat perlu untuk memerangi wabak dengan menggembleng usaha dan tenaga pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, perubatan, motivasi serta sebagainya.

"Kita perlu bekerja secara berjemaah sebagai satu pasukan mengikut kebolehan masing-masing dan ini satu fardu kifayah," katanya.

Tiada ulasan: