Ahad, 31 Januari 2021

Jalan keluar dari masalah duniawi

 USTAZ MOKHTAR SENIK

HARI ini saya naik Grab dari Bandar Kuantan ke rumah saya di Kampung Kuala Penor. Tiba-tiba pemandu Grab meluahkan masalah yang sedang beliau hadapi. Beliau seorang suami dan ayah kepada 5 orang anak yang masih bersekolah.

Satu ketika dulu beliau berkerja dengan sebuah hotel 5 bintang. Gajinya agak lumayan. Sambil-sambil itu beliau buat bisnes sampingan. Dengan gaji dan pendapatan itu beliau mampu beli banglo, kereta dan keperluan lain yang agak mewah. Namun isteri beliau abaikan, ibu bapa di kampung sering putus belanja. Namun beliau tak banyak bertanya khabar. Beliau mabuk dengan kemewahan sendiri dan duit habis dengan kawan-kawan. Beliau dah lama tak tunai solat. Pernah beliau tampar isteri kerana kejutkan beliau solat Subuh. Mengenai anak-anak, beliau tak ambil tahu. Pernah anak sulung beliau ambil upah cuci kereta dekat car wash kerana nak bayar duit yuran asrama.

Itu dulu, awal tahun lepas bermulanya COVID-19 majikan hotel telah memberhentikan beliau bersama-sama beberapa puluh staf yang lain. Beliau mula berhutang sana sini kerana nak kekalkan hidup mewah yang pernah beliau lalui. Akibatnya hutang beliau semakin berlambak termasuk hutang dengan along. Empat ke lima kali orang-orang along datang cari dekat rumah. Anak-anak hanya mampu menangis bila orang-orang along tampar beliau depan anak-anak. Namun itu semua tidak pernah menjadikan beliau serik. Akhirnya isteri dan anak-anak bawa diri balik kampung di Negeri Sembilan. Khabarnya isteri beliau ambil upah jaga homestay orang di Kampung. Anak sulung dan ketiga (lelaki) bekerja dekat bengkel dan kebun sayur di dengkel. Yang masih sekolah rendah tinggal dengan mak mertua dan ayah mertua yang dah uzur.

Lantas beliau berkata sekarang beliau dah insaf. Hidupnya musnah sama sekali. Sepi, sunyi dan teman-teman pun ramai yang dah lari. Yang ada hanya ketakutan diburu oleh ejen-ejen kewangan tempat beliau berhutang. “Ustaz… tolong saya,” dengan nada sebak. Saya bukan nak pinjam duit bukan nak apa cuma tunjukkan saya jalan hidup yang sebenar. Saya dah buntu ini. Apa perlu saya buat? Lanjut beliau.

Saya pandang wajah beliau. Awan sedih bergayut lebat pada wajahnya. Sejurai air mata menghilir ke lekukan pipinya yang agak cengkung. “Sekarang encik solat tak?,” Tanya saya. “Tidak…,” ujar beliau perlahan sambil menggelengkan kepala dengan lemah. Saya beritahu beliau;

“Itulah salahnya encik dan punca segala masalah yang encik hadapi ini. Encik mahu keluar dari kemelut hidup dunia yang membebankan. Encik mahu lari dari tekanan perasaan. Encik mahu anak-anak dan isteri kembali kepada encik… Betul tak?”. 

Sebelum beliau jawab saya sambung lagi. “Tahu kah encik bahawa dunia ini ada tuannya? Hidup ini ada yang menciptanya? Anak-anak dan isteri encik itu ada tuannya termasuk diri encik iaitu Allah. Hanya Allah yang boleh menyelesaikan masalah encik. Tapi kalau dengan Allah sendiri encik ada masalah iaitu tidak pernah mahu sujud kepadaNya, bagaimana Allah akan menyelesaikan masalah encik? Sebelum encik fikir jalan penyelesaian mana yang nak diambil, terlebih dahulu encik mesti selesaikan permusuhan encik dengan Allah. Sujudlah kepada-Nya. Mengadulah kepada-Nya dan merintihlah kepada-Nya. Saya percaya kalau encik ceritakan masalah encik ini kepada teman-teman lain dan kawan-kawan yang pernah rapat dengan encik, mereka akan buat tak tahu bahkan menyampah mendengarnya bukan?”

“Ya Ustaz, kawan-kawan semua dah lari,” jawab beliau lemah. “Tapi encik, Allah tidak pernah jemu dan meluat dengan encik walau encik derhaka kepada-Nya 1,000 tahun sekalipun, asalkan encik bangun semula dengan penuh insaf dan bertaubat kepada-Nya. Jagalah solat,” tegas saya berulang kali sebelum kereta berhenti di hadapan pagar pondok saya. Beliau pegang tangan saya dan menangis sungguh-sungguh. “Ustaz doakan saya,” ujar beliau dalam sedu yang semakin berat. 

Selepas membayar RM17 tambang beliau. Beliau pun berlalu sambil berkata “Ustaz bersaksilah saya berjanji kepada Allah untuk kembali kepada-Nya.”

Saya perhatikan kereta beliau berlalu dengan perasaan yang juga pilu, namun saya gembira ‘Kuliah live’ saya hari ini berjaya membuatkan hati seorang hamba Allah berjanji untuk kembali kepada Allah, moga beliau berubah. Amiin.

(*) USTAZ MOKHTAR SENIK - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: