Sabtu, 30 Januari 2021

Ibu angkat mahu kematian Amir dapat pembelaan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ibu angkat kepada kanak-kanak malang Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kematian anak angkatnya itu yang dibela sejak usia dua bulan lagi.

Jelas Norlida Abu Hassan dia menyerahkan kembali anak angkatnya itu kepada ibu kandungnya Oktober tahun lalu.

"Menerima berita kematiannya tidak tahu nak cakaplah. Seorang anak yang saya bela sejak umur dia lepas pantang lebih kurang dua bulan sehingga bulan 10 hari tu.

"Saya jaga dia daripada kecil seperti anak sendiri, tak pernah rasa beban malah bersyukur ada anak angkat sepertinya.

”Bukan tak boleh terima (Kematian) tetapi sedih seandainya kematiannya disebabkan kekejaman manusia," katanya dalam perasaan sebak seperti dilaporkan media hari ini.

Norlida yang berusia 48 tahun menetap di Rawang, Selangor mengakui terkejut dengan pemergian Zubaidi Amir atau mesra dipanggil Amir kerana berlaku dengan tiba-tiba selepas tiga bulan anak angkatnya itu diserahkan kepada ibu kandungnya.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Berikutan itu sepasang suami isteri, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Kisah Norlida dan Zubaidi Amir menarik perhatian media Oktober tahun lalu selepas mereka berpisah dengan apabila kanak-kanak itu diambil semula oleh ibu kandungnya.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan Norlida mahukan pembelaan sewajarnya terhadap anak angkatnya itu jika benar dia dibunuh.

Norlida berkata, sebaik mengetahui berita pemergian Amir, dia dan seluruh ahli tidak berlengah sebaliknya terus keluarga terus bergegas ke Melaka, malam tadi.

"Selepas dapat tahu, kami terus ke balai polis berhampiran meminta kebenaran untuk merentas negeri.

" Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan sehingga kami selamat tiba di sini (Melaka).

"Saya cuba terima pemergiannya cuma berharap keadilan ditegakkan buatnya jika benar dia dibunuh," katanya.

Tiada ulasan: