Khamis, 28 Januari 2021

Thaipusam: Pergerakan pedati Perak P.Pinang diluluskan MKN

Bernama
Thaipusam: Pergerakan pedati Perak P.Pinang diluluskan MKN
Pedati perak yang berusia lebih 100 tahun yang membawa arca Dewa 
Murugan melalui Jalan Transfer semasa mengadakan perarakan sejauh 
7 kilometer di George Town, 27 Jan, 2021. --fotoBERNAMA
 
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan pergerakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak yang dilakukan awal pagi semalam, sempena sambutan Thaipusam di negeri itu telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak menjaga keamanan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang pergerakan ke Kuil Nattukottai Chettiar, di Jalan Air Terjun di sini.
 
"Sebenarnya bukan perarakan tapi pergerakan pedati dan ia juga telah diluluskan oleh MKN, jadi PDRM seperti biasa bertugas untuk menjaga keamanan bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang pergerakan tersebut.
 
"Selain itu kami juga memastikan tiada gangguan trafik sepanjang pergerakan pedati berkenaan, pergerakan yang bermula 3.30 pagi tadi itu berjalan lancar dan baik, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
 
Katanya pergerakan pedati itu menggunakan laluan sejauh tujuh kilometer iaitu lebih dekat berbanding tahun sebelumnya sembilan kilometer dan ia bermula dari Lebuh Penang, Lebuh Chulia, Jalan Transfer, Jalan Burma, Jalan Anson, Jalan Macalister secara melawan arus seterusnya ke Jalan Utama sebelum tiba di Jalan Kebun Bunga dan Kuil Nattukottai Chettiar.
 
Sahabudin berkata bagi pergerakan balik pada Jumaat ini ke Kuil Kovil Veedu, Lebuh Penang di sini, 
pedati perak itu akan menggunakan laluan yang sama dengan mengikut kesesuaian jalan dan diawasi pihak polis sepanjang perjalanan tersebut serta tidak akan berhenti di mana-mana seperti ketika pergerakan pergi.
 
BACA: Thaipusam: Pulau Pinang tetap tidak benarkan perarakan pedati
BACA: Thaipusam: Pedati tidak boleh berhenti, pengikut tidak lebih 10 orang, tiada muzik
BACA: COVID-19: Pulau Pinang mungkin batal perarakan pedati sempena Thaipusam
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berkumpul atau mengekori pergerakan pedati perak itu ketika perjalanan balik ke Lebuh Penang dan mereka boleh dikenakan kompaun jika ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu.
 
"Kami telah memaklumkan kepada penganjur iaitu tidak membenarkan orang ramai berkumpul dan hanya 10 petugas sahaja boleh mengiringi pedati tersebut, pagi tadi pengurusan kuil mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan itu.
 
"Ini bukanlah perarakan Thaipusam seperti biasa tetapi hanyalah pergerakan pedati yang perlu mematuhi SOP yang ketat. Orang ramai tidak perlu berada di kawasan kuil dan sepanjang laluan pergerakan pedati itu, mereka boleh sembahyang di kediaman masing-masing," katanya.
 
Perarakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dilakukan awal pagi semalam, sempena sambutan Thaipusam dengan mengikut SOP yang ketat untuk sampai ke Kuil Nattukottai Chettiar, di Jalan Air Terjun.
 
Pedati itu bergerak dari Kuil Kovil Veedu, pada 3.30 pagi ditarik dua ekor lembu dan diiringi 10 petugas kebanyakannya pegawai kuil dan tiba di Jalan Air Terjun kira-kira 5.45 pagi.-- BERNAMA

Tiada ulasan: