Jumaat, 29 Januari 2021

Tanpa televisyen, program tambahan TV Pendidikan tidak bermakna buat pelajar luar bandar Sarawak

Kementerian Pendidikan mesti menyelesaikan masalah asas berhubung pengajaran 
dalam talian. (Gambar Bernama)

KUCHING: Seorang pendidik ragu tentang jumlah pelajar di luar bandar Sarawak boleh memanfaatkan slot tambahan 2 jam program TV Pendidikan, ketika banyak keluarga tidak mempunyai televisyen di rumah.

Jonathan Chai, pengerusi Persekutuan Lembaga Pengurusan SJK Chung Hua Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mesti menyelesaikan masalah asas pengajaran dalam talian, seperti akses internet dan keluarga yang tidak mampu menggunakan komputer atau telefon pintar.

“Dengan masa program TV Pendidikan yang terhad, saya ragu ia sebenarnya menawarkan bantuan kepada pelajar berkenaan,” katanya kepada FMT.

“Beberapa keluarga di kawasan luar bandar dan pedalaman malah tidak mempunyai set televisyen. Jadi bagaimana anda mengharapkan pelajar di kawasan tersebut mendapat manfaat daripada program tambahan ini,” soalnya, selain menambah bahawa kesan pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar semakin besar.

Katanya, wujud keperluan untuk melatih guru dengan berkesan agar mereka dapat mengadakan kelas dalam talian dengan cekap.

Chai mengulas keputusan kerajaan untuk menambah jumlah program TV Pendidikan bagi melengkapkan pengalaman pembelajaran dalam talian untuk pelajar di rumah dan juga pelajar yang menduduki peperiksaan yang mengikuti kelas di sekolah.

KPM berkata slot tambahan dua jam itu akan ditambah dalam program TV Didik di NTV7, khusus untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak, Adam Prakash Abdullah berkata, semua pihak perlu memberi bantuan sewajarnya kepada semua pelajar di seluruh negara.

Beliau meminta pelajar di kawasan luar bandar yang tidak ada capaian TV diberikan pelajaran melalui rakaman yang boleh diedarkan kepada guru, ibu bapa dan pelajar.

“Kami berharap kerajaan juga menimbangkan pilihan ini kerana ada tempat di negara ini yang tidak ada capaian TV atau capaiannya lemah.

“Masa sangat terhad, justeru tindakan segera perlu diambil agar pelajar kita dapat bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: