Ahad, 31 Januari 2021

Ibu bapa, guru diminta beri pandangan berkenaan isu pendidikan

Bernama
Ibu bapa, guru diminta beri pandangan berkenaan isu pendidikan
Jalaluddin berkata ia susulan kebimbangan masyarakat terhadap cabaran 
pendidikan anak-anak yang kini melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran 
di Rumah (PdPR). - Gambar fail
 
SEREMBAN: Ibu bapa diminta mengemukakan pandangan berhubung langkah untuk membolehkan semua pelajar sekolah dan universiti mendapat pendidikan yang terbaik dalam keadaan negara dilanda wabak COVID-19.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Datuk Jalaluddin Alias berkata ia susulan kebimbangan masyarakat terhadap cabaran pendidikan anak-anak yang kini melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
 
"Ketika ini saya melihat pendidikan semakin hari semakin tidak menentu dalam keadaan pandemik COVID-19.
 
"Ramai ibu bapa merungut sama ada di kawasan bandar dan luar bandar tentang pendidikan dan kebimbangan mereka terhadap generasi akan datang hasil daripada kekurangan pendidikan di peringkat rendah, menengah dan universiti kerana kurang mendapat pendidikan secara fizikal (bersemuka).
 
"Masalah juga perlu dilihat kepada pelajar luar bandar dari segi capaian internet, kekurangan peranti dan kemampuan ibu bapa untuk mengadakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak dan sebab itu saya kemukakan tinjauan pendapat untuk mendapatkan pandangan mereka," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
 
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata kesemua pandangan berkenaan akan dirumuskan di peringkat jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
 
Jalaluddin berkata selain ibu bapa, guru dan kumpulan profesional juga dialu-alukan memberi pandangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di institusi pendidikan serta keberkesanan PdPR yang digunakan ketika ini.
 
"Semua dapatan daripada pelbagai golongan termasuk guru-guru amat penting untuk dikumpulkan bagi mencari formula dan solusi terbaik untuk mengatasi masalah pendidikan ketika ini. Apabila formula ini dapat dihasilkan, kita akan kemukakan kepada kerajaan untuk tindakan berkaitan dasar pendidikan negara," katanya.
 
Menurut beliau, pandangan berkenaan boleh dikongsikan dalam tinjauan pendapat yang dimuatnaik di laman Facebook dan twitter rasminya iaitu Jalaluddin Alias dan setakat ini, tinjauan berkenaan menerima maklum balas daripada 42 individu.-- BERNAMA

Tiada ulasan: