Sabtu, 2 Januari 2021

Seram tengok budak main seorang diri di jalan awal pagi

Oleh Yun Mikail
Seorang kanak-kanak dilihat bermain basikal sendirian di jalan raya pada awal pagi Rabu lalu. - Foto ihsan pembaca
Seorang kanak-kanak dilihat bermain basikal sendirian di jalan raya pada awal pagi Rabu lalu. - Foto ihsan pembaca

PENAMPANG: Rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak bermain basikal sendirian di jalan raya, dipercayai kira-kira jam 3 pagi Rabu lalu, tular sehingga menimbulkan 'kekecohan' dalam laman sosial.

Rakaman video berdurasi 26 saat itu memaparkan kanak-kanak lelaki itu bermain basikal di suatu persimpangan jalan tanpa ditemani penjaga.

Kejadian itu mendapat pelbagai respons pengguna laman sosial, termasuk ada yang mengaitkannya dengan keadaan seram.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan insiden itu berlaku di simpang sebuah kampung di Putatan, Rabu lalu.

"Beberapa orang awam telah datang ke Balai Polis Putatan dan memaklumkan ternampak seorang budak lelaki berusia kira-kira empat tahun, sedang mengayuh basikal di simpang jalan kampung berkenaan.

"Anggota yang bertugas ketika itu terus bergegas ke lokasi sebelum menemui kakak-kanak berkenaan di simpang jalan terbabit.

"Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Balai Polis Putatan dalam keadaan selamat.

"Pada masa sama, ibu kanak-kanak itu datang ke balai polis untuk mengadu mengenai ketiadaan anaknya di rumah mereka yang terletak di kampung berkenaan," katanya.

Mohd Haris berkata, wanita terbabit mendakwa anaknya itu menghidap penyakit autisme.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai kejadian itu dan hanya menerima maklumat orang awam.

Tiada ulasan: