Sabtu, 2 Januari 2021

226 mangsa banjir di Masai dipindahkan

JOHOR BAHRU: Seramai 226 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di Jalan Damai 8, Kampung Sentosa Damai, Masai, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar, berkata pihaknya menggerakkan 15 anggota ke lokasi terbabit selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.00 petang.

"Setiba di lokasi, didapati benar berlaku banjir pada paras tiga meter.

"Justeru, kesemua 226 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru.

"Operasi pemindahan banjir ditamatkan kira-kira jam 9.30 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain PPS terbabit, dua lagi pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 dan Pusat Komuniti Kampung Pasir di Skudai, petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru, memaklumkan PPS Pusat Komuniti Kampung Pasir bagaimanapun sudah ditutup kira-kira jam 8 malam tadi.

Tiada ulasan: