KUALA LUMPUR – Membuka lembaran baharu tahun 2021, pendakwah terkenal Ebit Lew terus dengan amalan sedekahnya.
Hari ini beliau menyumbangkan 1,200 kotak KFC kepada barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0.
Sumbangannya itu merupakan penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa barisan hadapan di situ yang bertungkus lumus berhadapan dengan pesakit Covid-19.
“Terima kasih Doktor, jururawat, Pembantu Perubatan. Besar pengorbanan mereka. Habis setahun 2020. Masuk 2021 Kerja mereka makin bertambah,” katanya.
Tambahnya, demi menjalankan tanggungjawab, para barisan tidak pernah mengeluh kepenatan meskipun terpaksa terkejar setiap hari dengan tugasan yang banyak
“Sedih dan kasihan pasti mereka teramat penat. Kerana Allah dan sifat tanggungjawab mereka terus berjuang. Mereka cari rezeki halal macam kita. Tetapi mereka berkorban hari-hari penuh kawalan dengan pakai Pakaian Pelindung Peribadi (PPE). Panas sangat. Duduk dalam kawad duri lagi. Makan tak sempat. Ke tandas tidak sempurna. 24 jam oncall. Selalu kena bertugas luar. Dipindahkan. Solat terkejar-kejar. Terasa seperti dunia lain
“Ya Allah kami tidak dapat balas jasa Frontliner (barisan hadapan) negara kami. Balasilah mereka dengan kasih sayangMu, beri keberkatan,rezeki, kesihatan dan kekuatan buat semua petugas negara kami,” tambahnya.
Untuk rekod, MAEPS 2.0 kembali diaktifkan bermula 9 Disember 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Skop operasi di MAEPS 2.0 ini adalah membabitkan pesakit Covid-19 kategori satu iaitu tanpa gejala dan kategori dua membabitkan pesakit gejala ringan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan