Ahad, 17 Januari 2021

Penampang terjejas teruk akibat banjir

PENAMPANG: Sekurang-kurangnya 16 kampung dan taman perumahan di sekitar Penampang dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Selain itu, 12 jalan di sekitar daerah ini juga dilaporkan dinaiki air sehingga memutuskan laluan perhubungan kenderaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pemindahan penduduk terjejas mula dijalankan sejak lewat malam tadi.

Katanya, setakat ini operasi pemindahan membabitkan seramai 31 individu daripada tujuh keluarga sekitar Penampang.

“Semua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelab Kompleks Sukan Penampang.

“Pemindahan membabitkan empat lelaki dewasa, 11 wanita dan 16 kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi masih diteruskan membabitkan kerjasama pelbagai agensi pasukan keselamatan yang membuat pemantauan di beberapa kawasan yang dinaiki air.

Katanya, setakat ini pemantauan mendapati paras air semakin meningkat berikutan hujan masih berterusan.

“Antara kawasan terjejas adalah Millenium Height Bundusan, Penampang Proper, Kampung Kumbau, Kg Dabak, Kg Limbanak Kituau, Kg Kolopis, Kg Inobong, Kg Tuavon, Kg Nambazan dan Kg Kibabaig.

“Selain itu, turut terjejas Kg Dungkahang, Pekan Donggongon, Taman Penampang, Regency Park dan Taman Sahabat,” katanya.

Tiada ulasan: