Ahad, 17 Januari 2021

Kecemasan kesihatan dengan undang-undang khusus lebih sesuai, kata Umno

Mohamad Hasan berkata pengukuhan strategi kesihatan langkah terbaik untuk 
mengatasi pandemik.

PETALING JAYA: Pengisytiharan kecemasan kesihatan dengan ordinan khusus adalah lebih sesuai untuk melawan pandemik Covid-19 dalam keadaan sekarang, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Beliau berkata walaupun parti itu akui keputusan untuk mengisytiharkan darurat dibuat dengan niat untuk mengawal wabak, melumpuhkan Perlembagaan sepenuhnya atau separa tidak akan membantu pemulihan.

Oleh itu, Mohamad berkata, kerajaan patut pulihkan fungsi demokrasi Perlembagaan dan Parlimen segera.

“Memandangkan situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini, kami akui darurat perlu diisytiharkan. Namun, kecemasan kesihatan bersama ordinan khusus parti pasti lebih sesuai.

“Hanya menerusi pengukuhan strategi penjagaan kesihatan boleh kita baiki kawalan ke atas pandemik. Contohnya, dengan percepatkan proses imunisasi dan menggunakan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah Umno menyokong usaha kerajaan mengawal gelombang ketiga pandemik Covid-19, dan bertegas mahu demokrasi dipulihkan.

“Demokrasi Malaysia tidak boleh tewas pada pandemik atau apa jua cabaran yang dihadapi negara.

“Ia mestilah menjadi sebuah negara adil dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan panduan. Malaysia sebuah demokrasi yang berjaya. Malaysia contoh demokrasi terbaik dalam kalangan negara Islam,” katanya.

Kerajaan pada 12 Jan mengisytiharkan darurat berkuatkuasa sehingga 1 Ogos atau lebih awal sekiranya pandemik dapat dikawal.

Semalam, kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bagi memastikan pengurusan darurat berjalan lancar.

Tiada ulasan: