Ahad, 17 Januari 2021

Syed Saddiq bidas keputusan saat akhir KPM tangguh buka sekolah

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, krisis Covid-19 bukan 
alasan untuk KPM membuat keputusan saat akhir dan menyusahkan semua pihak.

PETALING JAYA: Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas keputusan saat akhir Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Jan depan di seluruh negara berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pengumuman pembukaan sekolah dianggap perkara penting dan keputusan saat akhir untuk menangguhkannya bukan perlaksanaan dasar yang baik.

“Selasa 12 Jan lalu umum sekolah akan dibuka 20 Jan ini.

“Semalam umum sekolah tutup (kecuali calon peperiksaan umum).

Empat hari sahaja, tapi keputusan dasar berubah-ubah,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau tidak pasti dengan tindakan KPM yang mengubah keputusan pada saat akhir.

Katanya, pengumuman pembukaan sekolah melibatkan ibu bapamengeluarkan duit untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Ibu bapa dah beli barangan sekolah, bayar yuran, beli baju sekolah, kelengkapan dan macam-macam lagi. Ini semua wang.

“Ada beritahu saya dah hantar anak ke asrama semalam. Rupa-rupanya Menteri KPM umum ‘last minute’ kata sekolah tutup,” katanya.

Syed Saddiq berkata, krisis Covid-19 juga bukan alasan untuk KPM membuat keputusan saat akhir dan menyusahkan semua pihak.

“Dah dekat setahun wabak ini tular di Malaysia,” katanya.

Semalam, KPM mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Jan di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

KPM berkata, sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Katanya, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan ini.

Tiada ulasan: