Sabtu, 2 Januari 2021

2 sekeluarga maut kenderaan rempuh tiang jejambat

Oleh Juwan Riduan
Keadaan kenderaan yang remuk selepas merempuh tiang konkrit jejambat di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Juwan Riduan
Keadaan kenderaan yang remuk selepas merempuh tiang konkrit jejambat di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Dua lelaki sekeluarga maut apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang konkrit jejambat di Jalan Kepayan, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, Mohd Ikbal Doi, 36, serta bapa mentuanya, Makin Balli berusia 50-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika mangsa menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dari Putatan menuju ke Wisma Muis.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghantar kenderaan terbabit kepada pemiliknya yang juga kenalan keluarga mangsa.

"Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang jejambat.

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit. Mereka kemudian berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, sampel darah mangsa sudah diambil untuk analisis di Jabatan Kimia.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan: