Monday, July 20, 2020

Nelayan cedera ditikam akibat sering membuli

Nelayan cedera ditikam akibat sering membuli
Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramlimemaklumkan kejadian tersebut tercetus ketika pihaknya mengiringi bot yang ditahan menceroboh perairan negara.

KUALA TERENGGANU : Gara-gara sering dibuli, seorang nelayan warga Vietnam bertindak menikam rakan senegaranya di bahagian perut dalam satu insiden pergaduhan di atas sebuah bot.

Kejadian yang menyebabkan mangsa cedera pada rusuk sebelah kanan berlaku kira-kira jam 11 malam Sabtu di sekitar 500 meter jarak dari muara Kuala Terengganu.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, kejadian tersebut tercetus ketika pihaknya mengiringi bot terbabit yang ditahan menceroboh perairan negara.

“Suspek yang cuba menikam sebenarnya adalah suspek yang dilaporkan mengalami tekanan mental kerana mungkin terlalu lama berada di laut.

“Suspek juga dipercayai tidak dapat pulang dan kita dapat menangkap mereka hasil dari siasatan awal,” jelasnya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, suspek yang berusia 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah.

No comments: