Friday, July 17, 2020

Generasi muda perlu mengorak langkah majukan negara

Saban hari kita disajikan kisah kejayaan generasi muda dari luar negara dalam membangunkan kemajuan dari segi ekonomi dan politik.

Nama-nama besar seperti Google, Amazon, Apple, Microsoft dan Facebook yang bernilai trilion dolar menyumbang kepada kejayaan negara mereka sendiri bahkan dunia, sekaligus mengubah model perniagaan yang konvensional.

Apakah persamaan mereka semua ini? Sudah tentu atas faktor usia, di mana tercetusnya idea bernas mereka di kala umur masih muda.

Pada skala global, struktur pemerintahan di beberapa negara sudahpun diterajui generasi muda. Hanya pada usia 34 tahun, Sanna Marin diangkat menjadi perdana menteri Finland. Begitu juga dengan New Zealand yang mempunyai perdana menteri wanita bernama Jacinda Ardern di kala usia mencecah 37 tahun, manakala Presiden Perancis, Emanuel Macron menjadi pemimpin salah sebuah negara paling berkuasa di Eropah pada usia 39 tahun.

Nama seperti Sebastian Kurz yang memegang portfolio canselor Austria, Perdana Menteri Ukraine, Oleksiy Honcharuk, Presiden El Savador, Nayib Bukele dan Emir Qatar, Shaikh Tamim bin Hamad al-Thani masing-masing berusia tidak lebih 40 tahun sudah pun diangkat memimpin negara mereka masing-masing.

Kejayaan Mark Zuckerberg, ketua pegawai eksekutif Facebook yang menjadi bilionair termuda dunia pada usia 23 tahun kerana penciptaan model perniagaan media sosial, mungkin dapat dicontohi generasi muda kita.

Kepimpinan generasi muda sekarang semestinya mempunyai cara dan acuan tersendiri mengikut peredaran zaman yang berbeza, lantas menghasilkan cara pemikiran berlainan juga. Generasi muda seharusnya diberikan ruang kerana mereka adalah harapan untuk kemajuan masa depan di negara ini dan bukan ancaman kepada kepimpinan sedia ada.

Kemampuan generasi sekarang perlu diketengahkan dan diasah sebaik mungkin, sebelum ianya tenggelam dek sikap segelintir pemimpin yang mementingkan diri.

Laungan untuk memberi tempat kepada generasi muda menerajui kepimpinan dan menonjolkan bakat dari segi ekonomi dan politik tidak patut hanya dibiarkan sekadar bersandarkan kata-kata. Ia harus dijadikan realiti, bukan retorik semata-
mata.

Isu politik tidak lagi menarik perhatian generasi muda sekarang. Mencari jalan penyelesaian seperti isu perumahan, hutang, kewangan dan paling utama “job creation” atau peluang pekerjaan lebih mustahak. Memberi ruang kepada generasi muda dalam membuat dasar dan menggubal undang-undang juga penting bagi mengubah lanskap negara.

Di Malaysia, kita disajikan isu yang tidak bermanfaat seperti soal perkauman dan kemelut politik berpanjangan. Peluang untuk generasi muda pula tersekat demi kepentingan kuasa sendiri.

Sebenarnya, sudah tiba masanya pemimpin yang terlalu lama di dalam arena politik dan sektor swasta tanah air memberi ruang serta memainkan peranan sebagai mentor kepada generasi muda.

Mentor kepada generasi muda ini perlu mencungkil bakat serta menyokong idea mereka supaya kita dapat membawa negara ke arah pembangunan yang dinamik. Dengan pengalaman mereka diadun bersama bakat serta kreativiti generasi muda dapat menjamin kemajuan ekonomi dan politik di masa depan.

Kita perlu percaya kepada kebolehan generasi muda tempatan dan ini akan diterapkan sehingga ke generasi akan datang dengan membuktikan keupayaan mereka sekiranya peluang dan ruang diberikan sewajarnya.

Kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan tempoh hari sememangnya senada dengan pemikiran generasi muda, di mana beliau mengetengahkan keperluan untuk menyelami potensi generasi muda dalam menerajui tampuk kepimpinan tidak kira di dalam sektor swasta atau awam, asalkan ianya dapat membawa negara kita ke arah kemajuan bertaraf global.

Untuk melahirkan generasi yang berkebolehan ini, sistem pendidikan kita perlu melalui perubahan. Bak kata bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, “keutamaan perlu diberikan kepada konsep pembentukan karakter untuk melahirkan pelajar yang berinovasi dan kreatif”.

Kreativiti ini sangat penting bagi merebut peluang dalam gelombang teknologi masa kini. Kreativiti diperlukan dalam cara pemikiran generasi muda supaya mereka mampu memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi manusia zaman sekarang dan masa depan, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk perniagaan mahupun dasar.

Sebagai contoh, Grab yang dibangunkan Anthony Tan semasa berumur 30 tahun, kini bernilai AS$14 bilion yang menyelesaikan masalah pengangkutan, penghantaran makanan dan keperluan harian.

Kepimpinan muda akan menjuarai isu yang dekat di hati generasi muda. Sesungguhnya, era berbeza memerlukan pendekatan berlainan kerana cabaran yang perlu ditempuhi generasi kini juga berbeza.

Jadi, generasi muda perlu mula mengorak langkah dan merebut peluang yang ada, serta diberikan dorongan oleh mereka yang lebih berpengalaman.

Di luar Malaysia, generasi muda mampu membina empayar trilion dolar dan menjadi pemimpin nombor satu negara. Mengapa tidak generasi muda di Malaysia?

Kesannya, pembangunan negara dapat dirancakkan dengan lestari untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita mengorak langkah generasi muda.

No comments: