Friday, July 17, 2020

Bezakan pelarian, pencari suaka daripada PATI, gesa PSM, 15 pertubuhan

Kumpulan pertubuhan dan parti politik yang menyerahkan memorandum kepada
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini.

PUTRAJAYA: Sebuah parti politik dan 15 pertubuhan menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini, antara lain meminta kementerian berdialog dengan mereka berhubung isu pelarian.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Rani Rasiah berkata pendekatan Putrajaya terhadap pelarian sewaktu Covid-19 melanda tidak bersesuaian dan menafikan hak mereka – mangsa yang lari dari bahaya.

“Pelarian dan pencari suaka harus dibezakan daripada pendatang asing tanpa izin dan diberi layanan yang dapat membantu mereka sementara menunggu untuk ditempatkan di negara ke-3,” katanya kepada FMT di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Beliau berkata perbezaan itu akan membantu mengurangkan xenofobia dalam kalangan rakyat, selain mengurangkan jumlah tahanan di kem. Katanya lagi, mereka juga tidak patut ditempatkan dalam pusat tahanan yang sesak.

AJK PSM, Rani Rasiah.

“Ia akan mendatangkan bahaya kepada petugas keselamatan dan juga pelarian yang berada di situ,” katanya.

Turut bersama PSM menyerahkan memorandum itu adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Tenaganita, dan North South Initiative (NSI).

“Sering kita dapati mereka ini ditangkap dan ditahan secara salah, disimpin di pusat tahanan tanpa sebab. Ini merupakan tindakan yang membazir masa pihak berkuasa dan wang pembayar cukai,” kata Pengarah Eksekutif NSI, Adrian Pereira.

Pengarah Eksekutif NSI, Adrian Pereira.

Katanya, tidak memberikan status yang jelas kepada pelarian akan menyebabkan penindasan dan penyelewengan. “Semoga pihak Putrajaya tidak anggap kami sebagai musuh, kami rakyat Malaysia yang ingin membantu.”

No comments: