Khamis, 7 Februari 2019

Wee mahu hadiahkan gambar ini pada Kit Siang

MALAYSIAKINI

   

Presiden MCA Wee Ka Siong memuat naik beberapa keping gambar Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung Lim Guan Eng di halaman Facebook.

Ini susulan kritikan Lim terhadap Wee yang mempertahankan kerjasama Umno dengan PAS, yang merupakan bekas sahabat DAP.

"Dalam usaha berterusan dengan serangan tidak logik, Kit Siang mengakui bahawa PAS hari ini bukan PAS yang sama yang beliau bekerjasama pada satu ketika dahulu.

"Apa yang saya cuba maksudkan pada satu ketika dahulu adalah tahun 2015, iaitu hanya tiga tahun yang lalu.

"Nampaknya, Kit Siang menghadapi masalah memori jangka pendek, kalau beliau nak, saya boleh minta sesiapa untuk mencetak, membingkai dan menghantar gambar tersebut kepadanya agar beliau menggantungkan di pejabat beliau untuk mengingatkan semula apabila dia berpura-pura lupa, " kata presiden MCA.

Semalam, Kit Siang mengkritik Wee kerana mempertahankan kerjasama Umno dan PAS di pilihan raya.

Beliau berkata Wee, yang juga anggota Parlimen Ayer Hitam akan kehilangan wang deposit jika pengundi mematuhi nasihat presiden PAS agar memilih calon pilihan raya beragama Islam.

Beliau menekankan bahawa Wee menang di kerusi parlimen Ayer Hitam di Johor dengan majoriti tipis 303 menentang Calon Pakatan Harapan Liew Chin Tong.

Pagi tadi, Lim mencabar Wee berkenaan kenyataan Hadi yang berkata DAP musuh Islam.

"Apakah Wee mengakui dengan ucapan terbaru Hadi merupakan contoh tipikal politik beracun dan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, bangsa dan agama yang akan menghancurkan Malaysia, mengutuknya sebagai negara gagal, jika tidak ditentang? " tanya beliau.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Hadi berkata PAS akan memutuskan hubungan dengan parti yang bermusuh Islam dan kepimpinan Islam.


Tiada ulasan: