Naib Presiden Amanah, Husam Musa, mencadangkan agar terma
penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang
terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brow didedahkan.
"Saya cadangkan terma penyelesaian luar mahkamah itu didedahkan kepada umum.
"Sesetengah pemimpin PAS nanti akan memberi alasan ia telah dipersetujui bersama sebagai sulit dan tidak boleh disiarkan.
"Hujah balas saya pula ialah, ia masih boleh dilakukan dengan persetujuan bersama kedua pihak.
Tidak ada masalah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi menyelesaikan kes samannya terhadap Clare pada 2 Feb lalu.
Melalui penyelesaian itu, Abdul Hadi menarik balik tuntutannya terhadap Sarawak Report manakala Clare menarik balik tuntutan balas ke atas presiden PAS terbabit.
Tak ada sebab tolak
Tindakan itu dikritik beberapa pihak, dengan ada yang menyifatkan ia menandakan dakwaan PAS menerima wang Umno itu memang benar-benar berlaku.
Penyelesaian itu juga dipercayai mencetuskan penularan semula isu audio ucapan seseorang didakwa Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam sebuah majlis tertutup sebelum ini.
Dipercayai ia dibangkitkan semula oleh satu kumpulan tertentu dalam PAS yang tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai tuduhan berkenaan.
Husam berkata, cara untuk mendedahkan terma itu cukup mudah.
"Dengan cara itu, menunjukkan PAS telus dan bersikap bertanggungjawab kepada anggota parti dan rakyat Malaysia," katanya.
Husam yang juga bekas pemimpin kanan PAS berkata beliau yakin tidak ada sebab untuk Clare menolak persetujuan itu kalau diminta PAS.
"Lagi pun, sejak penyelesaian itu dimeterai di mahkamah London pada 1 Feb lalu, kedua-dua pihak membuat ulasan masing-masing, sebahagiannya kita dapati cuba mengelirukan dan tidak selari dengan fakta," jelasnya.
Sementara itu, Husam yang juga pengerusi PH Kelantan berkata, beliau sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes dana didakwa diterima PAS berkenaan.
Katanya, skop penyiasatan kes tersebut mestilah luas.
"Kebanyakan transaksi adalah tunai tetapi SPRM sudah tentu ada caranya untuk mengesan ‘bekas’ dan ‘denai duit' tersebut.
"Punca dari mana wang berkenaan. Tiada siapa pernah menyatakan wang yang disalurkan hanya bersumber dari 1MDB.
"Tentulah tidak wajar saya tidak ikut memberikan kerjasama, setakat mana maklumat yang ada pada saya, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan