Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman meminta maaf di
mahkamah kerana sikapnya ketika hadir kes perbicaraan saman terhadap
Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad hari ini.
Kes saman itu turut
melibatkan dua yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times
Press (M) Bhd (NSTP) yang masing-masing diwakili K Shanmuga dan Rueben
Mathiavaranam.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Aliza Sulaiman
sebelum itu mengingatkan Tajuddin agar merujuk kepada peguam dan
mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Saya meminta maaf kepada
mahkamah kerana ini kali pertama saya di mahkamah. Saya tidak biasa
dengannya (proses mahkamah)," katanya.
Prosiding hari ini adalah
bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa
Khalid memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi
Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.
Istilah sial berkenaan
diucapkan Khalid dalam Dewan Rakyat selepas Tajuddin menyebut hanya
Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita
yang mempunyai 'Kok'.
Khalid turut mendakwa Tajuddin menghina anggota parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.
Susulan
itu, Tajuddin mencabar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam supaya
mengulangi perkataan "sial" di luar Dewan Rakyat kepadanya.
Dakwa video disunting
Perbicaraan
yang bermula pada 11.10 pagi itu menyaksikan Tajuddin tidak berpuas
hati selepas pihak defendan dibenarkan menyiarkan tiga klip video yang
diakui oleh Tajuddin sebagai sumber kepadanya untuk memfailkan saman
berkenaan.
Video pertama yang disiarkan memaparkan pertikaman
lidah antara Tajuddin, Khalid, Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena), Kasthuri
Patto (DAP-Batu Kawan) dan Teresa di Dewan Rakyat.
Tajuddin turut mendakwa video tersebut sebagai disunting.
"Kalau
kamu nak siarkan. Biar ia dari awal. Jangan main politik. Kandungan
video perlu secara menyeluruh. Ini disunting bagi kepentingan anda,"
kata Tajuddin ke arah peguam Khalid, Sankara Nair.
Khalid
yang turut berada di dalam mahkamah dilihat tersenyum ke arah Tajuddin
sebelum bergegas keluar dari dan memaklumkan beliau perlu menghadiri
mesyuarat.
Tajuddin kemudian ditenteramkan oleh peguamnya, Hasnal
Rezua Merican dengan memaklumkan bahawa pihak defendan mempunyai hak
untuk memaparkan video berkenaan.
Selepas itu, Tajuddin sekali lagi tidak berpuas hati apabila klip video kedua dipaparkan.
Klip
video kedua itu merupakan rakaman sidang media yang pertama oleh Khalid
di luar Dewan Rakyat yang memaparkan ahli-ahli parlimen PH mengecam
tindakan Tajuddin dalam Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai tidak
bertamadun serta menghina golongan wanita.
Susulan itu, Tajuddin dilihat berpaling dari sudut paparan klip video berkenaan dan memandang arah lain.
"Apa ini?" soal beliau kepada Hasnal, sebelum diminta bersabar oleh peguamnya itu.
Tajuddin berdiam diri ketika klip video ketiga disiarkan.
Video
ketiga tersebut merupakan sidang media kedua oleh Khalid yang
memaparkan pemimpin Amanah itu menyatakan kesediaan meminta maaf kepada
Tajuddin sekiranya Tajuddin turut membuat yang sama kepada Teresa dan
Kasthuri.
Bawa kamus DBP
Ketika
Hasnal meminta Tajuddin untuk mengesahkan ketiga-tiga video tersebut,
Tajuddin tidak menjawab soalan penguamnya sebaliknya mengadu bahawa
beliau tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri.
"Video ini
tidak adil dan berat sebelah. Mereka sepatutnya memberi masa kepada saya
untuk menjawab. Ini tidak adil. Video ini cuba potret (gambarkan
keadaan) lain.
"Yang Arif saya tidak akan benar isu (penyiaran
video terhadapnya) ini dipanjangkan. Ini isu maruah saya. Jadi, jangan
main-main dengan hal ini. Ini bukan isu simple (senang)," katanya.
Hakim kemudian mengingatkan Tajuddin bahawa beliau tidak menjawab soalan.
Tajuddin
memohon maaaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak biasa dengan prosedur
mahkamah kerana merupakan kali pertama hadir prosiding seumpamanya.
Terdahulu,
Tajuddin turut membawa kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke mahkamah
untuk menerangkan erti perkataan 'sial' yang digunakan terhadapnya.
"Ini kamus DBP edisi keempat, di mana perkataan 'sial' diertikan sebagai 'celaka' yang membawa maksud menjahanam dan terkutuk.
"Dalam
bahasa Inggeris ia membawa maksud 'cursed' bermakna orang tidak boleh
dekat dengan seseorang 'cursed'", jelas beliau lagi.
Perbicaraan akan bersambung pada Mei untuk pemeriksaan balas terhadap Tajuddin oleh Sankara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan