INKUES ADIB | Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendakwa dalam kekecohan ketika tiba di pekarangan Kuil Sri Maha Mariamman, dia sempat tergamam seketika apabila terdengar kata-kata ancaman.
Menceritakan apa yang dialaminya pada malam 27 Nov tahun lalu itu, Mohd Sharol Anuar Kamarudin, 27, berkata dia bersama anggota lain JBPM tiba di tempat kejadian pada jam 1.12 pagi.
Katanya ada seseorang dalam kerumuman orang ramai itu menjeritkan: "Jangan padam!" dan "Pukul bomba!" ketika mereka sampai.
"Tergamam sekejap, dengar dia (orang yang tidak dikenal pasti) cakap, macam ugut.
"Saya dengar dia cakap: jangan padam, pukul bomba," katanya yang kemudian melompat semula ke belakang jentera bomba yang ditugaskan pada malam berkenaan.
Mohd Sharol menceritakan detik itu semasa memberi keterangan sebagai saksi ketujuh inkues bagi mengenal pasti punca kematian salah seorang anggota JBPM yang bertugas pada malam tersebut, iaitu Muhammad Adib Mohd Kassim.
Inkues itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah.
Ada kira-kira 100 orang
Sebelum itu Mohd Sharol juga mendakwa sebaik sampai di tempat kejadian dia membuka pintu jentera tersebut dan terjun dari tempat duduknya di bahagian kiri belakang.
Sebelum itu Mohd Sharol juga mendakwa sebaik sampai di tempat kejadian dia membuka pintu jentera tersebut dan terjun dari tempat duduknya di bahagian kiri belakang.
Ketika itu katanya dia melihat beberapa kereta diparkir selain dua tiga orang yang memakai topi keledar.
Secara kasar, katanya, ada empat atau lima orang berada di kawasan berkenaan.
Ditanya Zhafran apa yang berlaku selepas terjun dari jentera bomba, Mohd Sharol berkata ada tiga orang meluru ke arahnya bersama besi panjang dan objek seperti pedang samurai.
"Tiga orang paling depan (membawa senjata), yang lain di belakang dia," katanya.
Ditanya jumlah orang yang ada di belakang itu, Mohd Sharol berkata, dia menganggarkan seramai kira-kira 100 orang.
Katanya ketika itu dia mengenakan pakaian baju kalis api JBPM serta bertopi keledar.
Mohd Sharol berkata van EMRS mula berpusing sebaik dia masuk semula ke lori bomba.
Tambahnya, dia mendengar bunyi hentaman kuat pada lori bomba dari luar.
"Saya pandang depan seketika, dan kemudian toleh rakan setugas untuk minta dia rakam (guna telefon bimbit).. Tapi dia tak dapat," katanya.
Menjawab soalan daripada Yahya Othman yang merupakan peguam keluarga Muhammad Adib, Sharol berkata situasi berkenaan membuatnya bimbang dengan keselamatannya.
Pada penghujung prosiding inkues hari ini, peguam Shazlin Othman meminta Sharol mengulang semula suara yang menjerit "pukul bomba!".
Prosiding inkues diadakan di hadapan koroner Rafiah Mohamad akan bersambung buat hari kelima esok dengan dua saksi awam dijangka tampil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan