Selasa, 12 Februari 2019

Politikus celupar, bukan media yang nakal

Oleh Rahman Imuda


Saya agak terganggu dengan beberapa hantaran media sosial pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang menyalahkan media kerana sering memuatkan artikel yang dikatakan sensasi.

Mereka turut berhujah, Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan media tidak boleh dibiarkan terlalu bebas dan perlu dikawal oleh kerajaan, kerana kerajaan dipilih oleh rakyat.

Seruan terhadap Akta Berita Palsu turut dikumandangkan - katanya baik untuk memastikan media tidak melaporkan berita yang semborono atau palsu.

Kenyataan-kenyataan seperti ini tidak wajar wujud, terutamanya daripada mereka yang konsisten menyatakan rakyat telah memilih Malaysia Baharu pada PRU14.

Mengawal media dengan erti kata menentukan mana yang ‘sensasi’, ‘betul’, ‘beretika’ dan seumpamanya bukanlah kriteria Malaysia Baharu, tapi Malaysia pilu.
Warga media tanpa mengira jenis, ideologi dan gaya harus mempertahankan kedaulatan media, terutamanya selepas PRU14 – pada saat demokrasi di Malaysia kurang sihat akibat defisit ‘semak imbang’.

Kalau tak ada angin, pokok tak akan bergoyang

Kebanyakan pimpinan PH yang melatah adalah mereka yang menjadi ‘mangsa’ kesensasian laporan berita media.

Mereka menuding jari kepada media kerana dikatakan media cuma mahu memilih tajuk yang sensasi dan hanya mahu menulis laporan yang boleh menjatuhkan kredibiliti mereka.

Bagi saya, hujah seperti ini cukup dangkal. Pada asasnya laporan media yang diambil berasaskan kejadian atau ucapan sebenar seseorang. Melainkan media itu berhajat untuk disaman, boleh dikatakan apa dilaporkan adalah hal yang sememangnya berlaku.

Bagaimana media melaporkan, atau bahan apa yang mahu diambil terpulang kepada mereka. Selalunya bergantung pada ‘nature’ media tersebut, jika mereka mesra pembangkang sudah tentu mereka bekerja keras untuk mencari kesalahan yang boleh dieksploitasi.

Oleh itu, tugas anda sebagai politikus, berhati-hati dan responsif. Jika terdapat laporan yang mengelirukan, segeralah dijawab dengan tegas.

Adakah individu-individu ini ingin kerajaan melakukan ‘micro-manage’ dengan membekalkan tajuk, mengawal selia artikel atau melantik pasukan editorial dari kerajaan? Bunyinya sahaja sudah cukup mengarut.
Saya membaca banyak laporan ‘nakal’ terhadapan pimpinan PH, kebanyakan laporan itu terhasil kerana ulah mereka sendiri.

Mengambil contoh insiden Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik katanya ingin memasukkan skandal 1MDB dalam sejarah, dia memang berkata begitu. Hal ini terjadi kerana dia ‘koyak’ di dalam Parlimen.

Begitu juga dengan isu hartawan Arab yang disebut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad. Adakah dalam kes ini media juga yang salah? Atau memang politikus yang celupar?

Akta Berita Palsu datang lagi?

Sebagai orang yang waras, sudah tentu kita tidak mahu membaca berita palsu dan usaha membendung berita palsu. Namun permasalahan Akta Berita Palsu akan berbalik kepada satu soalan yang fundamental - siapa yang akan menentukan ‘berita palsu’?

Lupakah kita bagaimana peranan besar Sarawak Report dalam membongkar dan menyedarkan rakyat tentang isu 1MDB?

Lupakah kita bagaimana Sarawak Report pernah dihalang aksesnya di Malaysia kerana dikatakan mengandungi berita palsu atau boleh menggugat keharmonian negara? Saya tidaklah terlalu menggemari Sarawak Report, tapi ia adalah contoh yang paling mudah.

Kita bimbang jika apa-apa kritikan, pertanyaan atau dakwaan terhadap kerajaan akan dilihat sebagai fake news. Tambahan lagi, kita sudah memiliki banyak akta yang boleh digunakan untuk menghadapi laporan berita palsu, bahkan telah beberapa kali digunakan - contohnya saman fitnah.
Lebih aneh, kebanyakan pemimpin yang menyeru Akta Berita palsu merupakan mereka yang menentangnya. Sikap seperti ini kelihatan menjadi kegemaran beberapa individu dalam PH – bangkang ketika menjadi pembangkang, sokong ketika menjadi kerajaan.

Ia tidak konsisten, dan memalukan. Baiki prestasi, itu yang rakyat akan lihat.

Jika seseorang melakukan persetubuhan dan berjaya menanam benih pada ovum pasangannya pada malam keputusan PRU14, maka sudah tentu dia akan menjangkakan untuk menerima cahaya mata tak lama lagi.

Hujah masih baharu tidak boleh lagi dijadikan alasan oleh pimpinan PH yang mahu menjerut media. Masih baharu tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi dungu, kerana kemahiran berhadapan dengan media boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat.

Kita tidak perlu tunggu hutang negara kurang untuk itu. Saya mahu kerajaan hari ini berjaya, saya benar-benar mahu.

Keberanian rakyat menukar kerajaan perlu diberikan penghargaan. Tiada penghargaan yang lebih besar selain daripada menjadi kerajaan yang baik dan mengutamakan isu periuk nasi rakyat.

Setakat ini belum kelihatan, kerajaan perlu bekerja keras untuk itu. Bukan berfikir bagaimana perlu mengawal media.

RAHMAN IMUDA merupakan pegamal media dan bekas aktivis mahasiswa. 
 
 

Tiada ulasan: