Rabu, 13 Februari 2019

Melantik dan memecat MB: Pengajaran dari Krisis Perak

Lu Wei Hoong



Berbeza dengan persepsi awam bahawa peranan sultan dan Yang dipertua Negeri hanya bersifat adat, beberapa sultan telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk memilih ketua eksekutif kerajaan negeri, seperti yang berlaku di beberapa negeri sejak 1985.

Contohnya di Sabah (1985), Terengganu (2008), Perlis (2008, 2018) dan Selangor (2014). Tetapi tiada yang lebih diingati berbanding ‘Krisis Perak’ yang berlaku pada 2009.

Sultan Perak pada masa itu, Sultan Azlan Shah menggunakan budi bicara baginda untuk menentukan bahawa menteri besar daripada Pakatan Rakyat (PR) Mohamad Nizar Jamaluddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Adun.

Biarpun ia tidak tidak pernah dibuktikan di dewan undangan negeri (DUN) melalui undian, Nizar membuat permohonan kepada sultan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan rakyat mengundi kerajaan negeri baru.

Permohonan tersebut bagaimanapun tidak mendapat perkenan sultan kerana baginda menganggap Nizar telah hilang kelayakan untuk terus menjadi menteri besar.

Malah Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar untuk meletakkan jawatan dan kemudian melantik kabinet yang baru.

Dengan itu, Sultan Azlan Shah yang pernah menjadi presiden Mahkamah Agung (kini Ketua Hakim Negara) menjadi satu-satunya sultan yang terlibat secara langsung dalam pertukaran kerajaan negeri di pertengahan penggal.

Mahkamah Persekutuan akhirnya mengesahkan bahawa undian sokongan terhadap Nizar tidak perlu dilakukan dalam sidang dewan kerana sultan mempunyai kuasa untuk menentukan wakil rakyat manakah yang mempunyai sokongan majoriti.

Cara pertukaran ketua eksekutif di Perak itu bukanlah cara yang diguna pakai oleh sultan dalam pertukaran menteri besar yang terbaru, iaitu di Selangor (2014) dan Perlis (2018).

Ia menjadi legasi terbesar dalam Krisis Perak. Bagaimanapun kaedah itu tidak diguna pakai dalam pertukaran menteri besar dalam dua kes yang berlaku selepas itu, iaitu Selangor pada 2014 dan Perlis pada 2018.

Pada 2014, Adun Kajang Dr Wan Azizah Wan Ismail menulis surat kepada Sultan Selangor untuk menyatakan beliau memiliki sokongan majoriti di DUN.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menimbang tiga lagi calon menteri besar, sebelum memilih Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.

Pada 2018 pula, Adun Tambun Tulang Ismail Kassim mempunyai sokongan majoriti Adun di Perlis tetapi Sultan Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memilih Azlan Man sebagai menteri besar.

Azlan merupakan menteri besar terakhir yang dilantik selepas PRU ke-14, 9 Mei tahun lepas. Pelantikan beliau dijalankan tanpa kewujudan kabinet kerana semua adun BN memboikot upacara angkat sumpah.

Dalam kedua-dua kes tersebut, parti yang terlibat tidak mencabar pelantikan itu di mahkamah.

Bagaimanapun, untuk kes di Sabah pada 2018, Adun Sungai Sibuga Musa Aman mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.

Seperti tindakan Nizar pada 2009, Musa mendakwa Gabenor Sabah tidak boleh memecatnya selaku ketua menteri dan memfailkan saman pemula bagi mengisytiharkan pelantikan Shafie sebagai tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman tersebut dan memutuskan Shafie kekal sebagai ketua menteri.

Keputusan itu disandarkan pada insiden yang berlaku di Perak apabila ketua negeri boleh menentukan sokongan majoriti ketua eksekutif tanpa melalui undian sokongan dalam DUN.

Tiga contoh di atas menunjukkan bahawa kaedah pelantikan ketua eksekutif boleh menjadi punca ketegangan dan ketidaktentuan politik disesebuah negeri.


Dua kekaburan yang perlu dikurangkan


Felo Penang Institute Wong Chin Huat percaya wujud beberapa kekaburan dalam prosedur pemecatan dan pelantikan kabinet.

“Kekaburan perlu diminimumkan, sekurang-kurangnya dalam dua aspek. Pertama, seperti dalam kes Perak, apabila kerajaan majoriti itu tumbang, permintaan untuk pilihan raya semula perlu diperkenankan melainkan terdapat sebab kuat untuk tidak melakukannya.

“Kedua, apabila sesuatu parti atau pakatan itu mempunyai majoriti yang jelas, jawatan ketua eksekutif perlulah dilantik daripada calon mereka.

“Ketua negeri tidak boleh menuntut calon lain (untuk dilantik), atau senarai pendek beberapa calon untuk dipilihnya,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Wong yang juga merupakan pakar sains politik percaya bahawa cara yang lebih mudah bagi melantik ketua eksekutif adalah dengan mengambil contoh daripada Jepun dan Jerman.

Di kedua-dua negara itu, wakil rakyat akan membuat pilihan ketua eksekutif melalui undian di kalangan mereka.
“Perubahan ini perlu dimulakan di negeri-negeri yang ketua negerinya bukan sultan, supaya rakyat dapat menilai kebaikan pelaksanannya.
“Dengan prosedur seperti itu, kemelut yang timbul susulan ketua negeri yang melantik menteri besar atau ketua menteri baru dalam masa 48 jam, pada 1985 dan 2018, pasti dapat dielakkan.”

Kuasa mengawal kepada parlimen


Seorang lagi pemerhati politik Ng Yap Hwa berkata, biarpun mencedok sistem Westminster dan raja berperlembagaan Britain, Malaysia tidak mengikut perundangan tersebut dalam soal melantik ketua eksekutif.

“Di Britain, ada keagungan parlimen, tetapi kita tak menjunjung prinsip itu di sini.

“Dalam kes Perak (2008) dan Selangor (2014), calon untuk jawatan ketua eksekutif hanya menghantar permohonan kepada ketua negeri bagi menyatakan mereka mempunyai sokongan majoriti,” kata Ng.




Katanya, hal itu secara tidak langsung memberi kuasa kepada ketua negeri yang boleh mempengaruhi proses demokrasi yang sepatutnya dijalankan melalui persetujuan kolektif.

Seperti Wong, Ng juga percaya bahawa parlimen atau DUN merupakan tempat terbaik bagi menentukan pelantikan ketua eksekutif.
“Pelantikan jawatan-jawatan penting seperti ketua hakim pun perlu mendapat persetujuan parlimen. Jadi kenapa pula pelantikan perdana menteri tidak melalui parlimen?”
Katanya lagi, Malaysia wajar meminda undang-undang bagi mewajibkan undi tidak percaya diadakan untuk kes-kes seperti itu, dan parlimen patut diangkat sebagai badan pembuat keputusan yang paling tinggi.

Pada 2011, parlimen Britain meluluskan Akta Penggal Tetap Parlimen ( Fixed Term Parliament Act) yang mengkanunkan undi tidak percaya- untuk julung kali dalam sejarah Britain moden.


Tak perlu pinda perlembagaan


Peguam perlembagaan Syahredzan Johan pula berpandangan Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi membolehkan sistem seperti itu dilaksanakan di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab pemerintah bagi menghormati konvensyen yang diwarisi daripada Britain.

“Kita tak perlu pinda undang-undang, boleh biarkan seperti sedia ada. Ada sebabnya konvensyen itu ada di situ.

“Mungkin akan timbul keadaan apabila pemerintah tidak patut membenarkan pilihan raya semula, contohnya apabila krisis berlaku hanya sebulan selepas kerajaan baru ditubuhkan.
“Keadaan-keadaan yang memungkinkan pilihan raya semula disekat daripada diadakan adalah sangat sedikit. Jadi saya rasa tak perlu pinda perlembagaan. Tapi ketua perlembagaan perlulah sentiasa mengikut konvensyen).”

Pembantu profesor Kolej Universiti Selatan, Phoon Wing Keong turut berkongsi pendapat sama.

Katanya, dalam mana-mana krisis perlembagaan, pemerintah perlu akur kepada permintaan untuk membubarkan parlimen atau DUN, dan menyerahkan kepada pengundi untuk memilih.

“Apabila ketua eksekutif melihat bahawa berlaku perubahan politik dan sokongan ahli dewan tidak lagi jelas, maka ia (kerajaan) boleh dibubarkan.

“Sultan atau ketua negeri perlu akur terhadap permintaan itu, melainkan permintaan tersebut tidak mempunyai sebab yang rasional,” katanya lagi.

Tiada ulasan: