“KAMI merayu agar rakyat memberi kami peluang untuk membuktikan kebolehan untuk memperbaiki negara demi rakyat. Kami sanggup dihakimi rakyat sejauh mana kami berjaya memenuhi janji-janji ini. Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami melalui proses demokrasi.”
Nada penuh merayu ini adalah kata pengantar dalam buku manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menjadi ‘manisan mengkhayalkan’ rakyat bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.
Janji
dan harapan yang diberikan oleh PH ketika itu amat hebat sekali. PTPTN,
tol, AES akan dihapuskan, harga minyak akan diturunkan begitu juga harga
barangan juga akan turun kerana kerajaan pakatan lebih bijak untuk
memansuhkan GST dan mengembalikan SST.
Dari
desa ke kota, daripada murid sekolah hingga pelajar universiti, daripada
petani di sawah, peneroka di tanah rancangan, penoreh di ladang getah
hinggalah nelayan di tengah lautan, semuanya diberi harapan bahawa hidup
mereka akan lebih baik jika mereka bersama PH ‘menyelamatkan negara’.
Sudah pastilah dengan barisan pemimpin yang diuar-uarkan berkelulusan
hebat-hebat belaka dan begitu bijak berhujah, berdebat serta
membentangkan fakta-fakta (yang antaranya tohmahan dan fitnah) termasuk
negara akan bankrap, rakyat akhirnya buat keputusan menolak BN.
Tetapi persoalannya adakah kehidupan rakyat kini jauh lebih baik
daripada dahulu? Adakah PTPTN sudah dihapuskan? Adakah plaza-plaza tol
di seluruh negara kini sudah tiada? Adakah kamera AES tidak lagi
menghiasi lebuh raya dan jalan raya di negara ini?
Adakah
petani, peneroka, penoreh getah dan nelayan serta masyarakat miskin
menikmati kesenangan hidup tanpa kedengaran suara keluhan daripada
mereka? Jawapan tidak!
Sudah terbukti dalam
tempoh sembilan bulan ini segala yang dibentangkan dalam manifesto dan
dilafazkan oleh pemimpin-pemimpin PH hanyalah harapan dan janji palsu.
‘Malaysia
Baharu’ yang diuar-uarkan kini sedang menuju ke arah ‘Malaysia Palsu’.
Justeru tidak perlu kita terkejut apatah lagi berasa hairan jika
terdedah soal kelulusan ‘palsu’ pemimpin-pemimpin pakatan tersebut.
Kalaulah janji-janji terhadap rakyat pun boleh dipalsukan, hal-hal lain boleh dianggap ‘kacang sahaja’ untuk memperdaya rakyat.
Inilah bahananya apabila kemenangan dicapai dengan memberikan harapan
palsu. Ketika itu bagi mereka menang dulu sama ada segala janji dapat
dilaksanakan, harapan diberikan palsu atau tidak, ia soal kedua.
Apa
yang penting, ‘kebijaksanaan’ politik untuk mengambil kesempatan atas
keterujaan dan keghairahan rakyat yang ketika itu diberi gambaran bahawa
kerajaan BN seburuk-buruk kerajaan di muka bumi Allah ini hingga perlu
ditumbangkan.
Slogan ‘Selamatkan Malaysia’
dengan kata-kata, “inilah dasar dan tindakan yang kami laksanakan untuk
memulih semula negara dan membina negara serta memenuhi harapan rakyat”
menjadi rayuan ‘beracun’ yang berjaya mempengaruhi rakyat. Tetapi kini
harapan rakyat hanya tinggal harapan.
Yang
dipenuhi dan tercapai sekarang ialah harapan serta impian pemimpin PH
untuk mendapat kuasa dan menjadi kerajaan melalui satu kerjasama yang
dilihat hanya memperalat satu sama lain.
Rakyat tidak mendapat apa-apa. Walaupun sekarang barulah mereka tahu
telah diberi janji, harapan dan fakta palsu mengenai pentadbiran negara
sebelum ini, namun semua itu sudah terlambat.
Pendirian
mereka sudah diterjemahkan dalam PRU-14 lalu, justeru mahu tidak mahu,
redah sahajalah untuk meneruskan kehidupan dalam era Malaysia penuh
‘kepalsuan’ ini.
Percayalah situasi politik,
ekonomi dan sosial negara akan lebih buruk pada tahun-tahun mendatang,
jika kerajaan Pakatan Harapan masih dengan cara pentadbiran sekarang.
Selain
jawapan ‘saya tidak tahu’, ‘itu tidak salah selagi tidak merogol dan
mencuri’, ‘kita tidak boleh buat apa-apa kerana ini salah kerajaan
terdahulu’, banyak lagi alasan dan hujah akan ditampilkan untuk menutup
kegagalan menunai janji-janjinya.
Menilai
satu demi satu watak anggota Kabinet kecuali beberapa menteri yang
dilihat berprestasi, harapan untuk melihat Malaysia jauh lebih baik
daripada era terdahulu hanyalah impian palsu yang tidak menjadi
kenyataan.
Sekadar mempromo minuman, menjual
kapal Equaminity, mendabik dada kutipan cukai lebih baik kerana
ketelusan kerajaan serta melakukan pendakwaan yang dianggap terpilih, ia
sama sekali tidak membantu rakyat. Apatah lagi banyak projek demi
kebaikan rakyat sudah dihentikan.
Jika benar
kerajaan sekarang ditubuhkan atas dasar mahu ‘memperbaiki negara untuk
rakyat’, maka tumpulah perhatian kepada usaha memberi kesejahteraan
kepada rakyat. Tetapi kita tidak perlu menaruh harapan kerana apa juga
perkara apabila sudah dimulakan dengan ‘kepalsuan’ agak sukar ia
mencapai kejayaan.
Bagaimanapun penulis
percaya banyak lagi janji dan harapan palsu akan ditaburkan apatah lagi
ketika pilihan raya kecil di mana-mana kawasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan