Selasa, 12 Februari 2019

Ijazah palsu, ukuran integriti Malaysia Baharu

SYAHIR SULAIMAN

PAKATAN Harapan kini berdepan dengan krisis integriti yang menghakis keyakinan rakyat dan anak muda, khususnya dalam empat perkara iaitu kegagalan menunaikan janji, perbalahan sesama sendiri, pembahagian jawatan kepada kroni, dan penipuan ijazah di kalangan menteri.Syahir SulaimanPertama, setelah genap sembilan bulan pentadbiran Pakatan Harapan, masih banyak janji manifesto yang belum ditunaikan. Pelbagai alasan terpaksa dicipta, bermula dengan naratif hutang dan rasuah yang terlalu tinggi, ketidaktentuan harga minyak dan kelembapan ekonomi, serta ketidakmampuan kerajaan untuk memansuhkan segala yang telah dijanji.
 
Sebelum pilihanraya, Pakatan Harapan seperti bermain ‘silap mata’ ketika berjanji untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam, memansuhkan hutang PTPTN serta mengambil-alih konsesi tol, namun kini segala formula dan angka tersebut sudah tidak kedengaran lagi.
 
Kedua, perbalahan dalaman di kalangan Pakatan Harapan umpama retak menunggu belah. Pemilihan PKR menyaksikan insiden pergaduhan dan kekecohan yang amat memalukan. Percanggahan kenyataan sesama Menteri semakin kerap berulang, manakala perbezaan pandangan DAP dan PKR dengan Perdana Menteri semakin jelas kelihatan.
 
Ketiga, pentadbiran Pakatan Harapan sudah mula terpalit dengan budaya kronisma dan nepotisma. Segala jawatan dan peruntukan di peringkat kementerian, GLC dan agensi kerajaan telah diagih kepada ahli keluarga dan kenalan, dengan alasan secara ‘kebetulan’. Malah sudah timbul perasaan iri hati di kalangan parti tertentu apabila melihat segala gelaran, jawatan dan peruntukan dibolot oleh parti rakan.
 
Keempat, Pakatan Harapan kini berdepan dengan kontroversi ijazah palsu di kalangan Menteri. Bermula dengan keraguan terhadap ijazah ‘Cambridge’ yang dimiliki Timbalan Menteri Luar Negara (PPBM), seterusnya membawa kepada persoalan terhadap kelulusan yang dimiliki Menteri Pertahanan (PAN), Menteri Kewangan (DAP) dan Menteri Perumahan (PKR), juga terhadap Menteri Besar Johor (PPBM) dan Perak (PPBM).
 
Isunya bukan untuk merendahkan tahap pendidikan para menteri, tetapi kontroversi ijazah palsu ini sudah cukup untuk mengukur kerendahan integriti dan meritokrasi yang kononnya dijuarai oleh Pakatan Harapan selama ini.
 
Persoalan integriti ini mungkin dianggap kecil oleh Pakatan Harapan berbanding amalan kleptokrasi kerajaan terdahulu, namun sikap ‘klentongkrasi’ ini sudah cukup untuk membuka mata rakyat dan anak muda bagi menilai kejujuran dan integriti kerajaan Malaysia Baharu.
 
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Menteri Pertahanan ketika berseloka dahulu, “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri”.
#TolakKleptokrasi
#TolakKlentongkrasi
 * Syahir Sulaiman , Pengarah Strategi DPPM 
 HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: