Sabtu, 16 Februari 2019

Kaji semula dasar baharu tanpa subsidi haji – Perkasa

Nizam Zain

Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan mengkaji semula dasar baharu subsidi haji dengan mengenakan caj penuh kepada mereka yang berjaya dalam rayuan pertama kerana ia akan membebankan bakal haji.

Naib Presidennya, Dr Amini Amir Abdullah berkata, peningkatan caj bayaran sebanyak RM12,920 bererti tiada lagi subsidi haji kepada mereka yang berjaya dalam rayuan pertama untuk menunaikan haji.

“Perkasa juga difahamkan caj penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900 berbanding caj lama yang hanya berjumlah RM9,880.

“Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak berlaku kepada kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, pentadbir akaun Facebook Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.

Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji.

Bagaimanapun Mujahid dalam satu sidang media berkata, kerajaan memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama akan kekal pada RM9,980.

Jelasnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH berusaha menanggung subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu.

Amini Amir berkata, TH digesa memberi keutamaan dan mempertimbangkan rayuan menunaikan haji diberikan kepada mereka yang memerlukan dan dalam keadaan darurat.

“Perkasa juga menggesa agar kerajaan Malaysia berbincang secara berhemah dengan kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota haji jemaah Malaysia.

“Amalan terdahulu di mana jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji Muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama pada RM9,980 sepatutnya dikekalkan dan tidak diusik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: