KUBANG PASU . - Nada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini begitu lantang membantah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dianggap memeras wang rakyat, tiba-tiba berubah dan enggan mengulas isu berkenaan.
Beliau sebaliknya memberi alasan bahawa isu AES
adalah berada di bawah Kementerian Pengangkutan dan sehubungan itu tidak
boleh mencampurinya.
“Pertama, kena rujuk
dengan Kementerian Pengangkutan, itu bidang kuasa mereka dan saya
sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia tak boleh sentuh hal-hal
berkaitan Kementerian Pengangkutan.
“Kedua,
saya tak mahu sentuh sangat berkenaan bekas Perdana Menteri (Datuk Seri
Najib Tun Razak) ini kerana dia hanya taraf raja lawak bagi saya,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu,
Mahfuz menyampaikan Cek Faedah Pengurusan Jenazah kepada keluarga
kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara, Allahyarham Norwahidah Abdul
Hamid yang meninggal dunia dalam kebakaran di Sepang, Selangor, Isnin
lalu.
Sebelum ini, ramai pihak mempersoalkan
pendirian Mahfuz yang merupakan antara individu paling lantang
membantah AES yang disifatkan hanya untuk memeras duit rakyat dan
menzalimi mereka.
Bagaimanapun, Mahfuz yang
juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ditanya pendirian
peribadinya berkata, beliau kekal dengan pandangan seperti sebelum ini.
“Saya
fikir itu sudah jelas tentang pendirian (peribadi) saya selama ini dan
saya percaya kerajaan harus memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Sementara
itu, dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz turut meminta kerajaan
mengkaji semula Sistem Mata Demerit yang disifatkan hukuman dua kali
kepada pengguna jalan raya.
“Pertama
pengguna perlu bayar kompaun dan kemudian demerit juga memotong mata
yang sehingga satu peringkat boleh digantung lesen mereka. Ini
menunjukkan dua kali mereka dihukum dan bagi saya ia tidak wajar,”
katanya.
Mengulas berkaitan video-video lama
yang memaparkannya membantah AES kembali tular, Mahfuz secara bersahaja
berkata, beliau tidak ada masalah dalam soal itu.
“Tiada
apa, itu saya bagi kerja tambahan kepada mereka sebagai sumber
pendapatan tambahan mungkin Youtube boleh bayar kepada mereka,” katanya.
Sebaliknya,
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan pula sama ada pemimpin UMNO
kini bersetuju menghapuskan AES atau tidak jika mereka kembali menerajui
kerajaan nanti. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan