THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di sini yang bermula hari ini menyaksikan anggota polis yang menerima laporan mengenai kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November tahun lepas, menjadi antara saksi awal memberi keterangan.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya DSP Mohamad Nasir Drahman berkata Jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang, November lalu, dikelilingi orang ramai dan dibaling dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.
“Jentera FRT hadapan dikelilingi oleh orang ramai dan dibaling batu.
“Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali mengundur, mengundur hingga hilang daripada penglihatan saya, ” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.
Allahyarham parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November tahun lalu.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.
Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan