Peguam M.Visvanathan yang memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini berkata pihaknya mahu mengambil bahagian dalam prosiding inkues itu yang bermula 11 Feb ini.
“Keseluruhan kejadian yang menyebabkan kematian lelaki itu (Adib), timbul hasil daripada pasukan petugas berkenaan (kuil) yang tidak mahu berganjak dari tempatnya.
“Anda tidak boleh melakukan penyiasatan dalam kekosongan. Semua keadaan berhubung kematian itu perlu disiasat agar dapat menghasilkan satu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas selesai memfailkan permohonan itu kira-kira pukul 9.00 pagi.
Beliau berkata permohonan itu mungkin akan didengari pada Khamis ataupun Jumaat ini.
Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner pada 31 Jan lepas menolak permohonan Visvanathan untuk jawatankuasa menyelamat kuil menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.
Rofiah sebelum ini menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lepas.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan