Sabtu, 2 Februari 2019

Hina Agong: Perkasa gesa wujud akta baharu

siti hafidah

Gagal atasi penghinaan terhadap Perkara 153 jurus kepada ketegangan kaum


BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa mewujudkan akta dinamakan Akta Menghina Islam dan Raja-Raja Melayu, supaya tindakan dapat diambil terhadap individu yang biadab dan mengganggu gugat keharmonian negara dan masyarakat.

Gesaan itu dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikutan bimbang sekiranya penghinaan terhadap agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu akan mengganggu gugat Perkara 153 yang menjadi Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sekiranya perkara berkenaan tidak ditangani, nescaya ia akan menjurus kepada ketegangan, pertelingkahan dan pergaduhan di antara kaum.

“Perkasa sedar dengan keadaan semasa, pihak polis amat rumit untuk bertindak dan mengambil tindakan ke atas golongan yang biadab dan kurang ajar ini kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi.

“Namun, Perkasa berharap agar isu ini tidak ‘disejukbekukan’ dan terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya ia tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Perkasa menggesa tindakan tegas diambil ke atas pengguna Facebook menggunakan nama akaun ‘Desmond Yongkor’ yang didakwa memuat naik gambar bersama kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menyifatkan tindakan bekenaan sebagai provokasi mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu yang mana Ketua Agama Islam di negara ini, Nasrul berkata, Desmond kelihatan sengaja membuat poster berkenaan dengan niat yang bersifat menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Ini bukanlah kali pertama Desmond membuat poster penghinaan sebegini.

“Sebelum ini, dia pernah dibebaskan daripada tuduhan mahkamah atas kesalahan yang sama dengan mudah iaitu hanya dengan alasan dia kehilangan telefon bimbitnya dan digodam oleh orang yang tak bertanggungjawab dengan memuat naik ke laman Facebooknya dengan menghina Nabi Muhammad dan agama Islam,” katanya.

Pada masa sama, Nasrul memaklumkan laporan polis telah dibuat Perkasa berhubung penyiaran poster berkenaan.


Tiada ulasan: