Selasa, 5 Februari 2019

Azmin TPM: Wan Azizah suruh tanya Dr Mahathir

Siti hafidah 

Timbalan Perdana Menteri kata tak dengar ada rombakan Kabinet


BANGI – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata, beliau tidak mengetahui desas-desus pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri yang kononnya akan dibuat selepas Tahun Baharu Cina.

“Kena tanya PM (Perdana Menteri). Saya tak dengar nak rombak Kabinet,” katanya dipetik media tempatan.

Terdahulu, ada desas-desus bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal melantik Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri yang ketika ini disandang Wan Azizah.

Spekulasi itu yang sudah lama dirasakan sebaik Azmin dilantik ke jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi bagi mengimbangi ‘kuasa’ Lim Guan Eng yang menduduki kerusi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, pelantikan Azmin sebagai TPM – jika pun berlaku – bukan langkah awal buatnya menduduki kerusi PM, sebaliknya bertujuan mengimbangi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika Presiden PKR itu menggantikan Dr Mahathir.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, desas-desus kali ini sekali gus mencerminkan wujudnya beberapa kem dalam Pakatan Harapan (PH), yang masing-masing berbeza hala tuju.

“Kita semestinya jelas, bahawa memang wujud beberapa kem dalam PH. Seperti mana dapatan kajian Ilham Center yang mendapati 54 peratus responden tidak mahu Dr Mahathir menjadi PM satu penggal.

“Desas-desus Azmin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah perang saraf pihak tertentu mengenai siapa yang akan ganti Dr Mahathir sebagai PM.

“Dapat dilihat bahawa dapatan Ilham Center lebih memberi manfaat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala desas-desus Azmin sebagai TPM, ramai pula yang menbuat analisis itu adalah strategi Dr Mahathir mengekang pengaruh Anwar, sekali gus menyekat beliau menjadi PM,” katanya.


Tiada ulasan: