Sabtu, 19 Januari 2019

Warga pekebun menderita mana PH?



"TERHIMPIT kesan kejatuhan harga buah kelapa sawit" demikianlah tajuk laporan khas akhbar The Sunday Star 13 Januari lepas.

Ini bukan lagi isu main-mainan tetapi ia merupakan satu permasalahan besar negara yang melibatkan nasib hidup atau mati lebih 650, 000 orang pekebun kecil sawit seluruh negara.

Harga buah sawit dilaporkan jatuh pada harga terendah dalam tempoh 3 bulan kebelakangan ini. Harga jatuh dan hasil juga berkurangan.

Dari RM400 ke RM500 setan kini dilaporkan ia susut ke paras RM220 ke RM200 setan menjadikan ianya tidak lagi ekonomikal dan tidak mampu menampung kehidupan pengusahanya.

Sepasang pekebun kecil dari Kg Temahil, Yong Peng, Johor yang ditemui menyatakan hasil sawit sudah tidak lagi menjadi pendapatan kerana harganya yang rendah manakala kos penyelenggaraan dan kos buruhnya mahal.

Mereka punya kebun seluas 1.5 hektar. Setiap musim kebun menghasilkan sekitar 0.8 tan hasil untuk keluasan kebun 0.5 hektar, bermakna kebun mereka yang seluas 1.5 hektar itu menghasilkan 2.4 tan buah sawit tiap bulan.

Jika harga sawit setan sekadar RM270 bermakna mereka akan peroleh hanya RM648 sebulan.

Itu belum tolak kos penyelenggaraan dan kos buruh memetik buah.

Berdasarkan kenyataan mereka kos selenggara kebun adalah RM600 sebulan dan kos buruh tadi RM210 bermakna kos keseluruhan yang perlu ditanggung adalah RM810 sedang hasil mereka cuma RM648.

Ini sudah darurat.

Para pekebun kecil berjumlah 650, 000 orang seluruh negara termasuk keluarga mereka sedang melarat, menderita dan bakal merempat di bumi sendiri!

Mana Kerajaan Malaysia Baharu PH yang sudah berkuasa lebih 8 bulan?

Ini belum lagi kita lihat nasib warga FELDA kita.

Siapakah yang akan membela mereka?

Rakyat disuruh tolak Najib Tun Razak dan BN dalam PRU lalu dan mereka sudah berbuat demikian. Kononnya nasib mereka akan terbela dan kehidupan mereka lebih sejahtera.

Kini mereka kusut dan menderita, mana PH?

Ternyata Kerajaan PH sekadar mengemukakan janji bulan dan bintang semata-mata kerana mahu kuasa. Kini mereka berkuasa rakyat lebih teruk terhimpit nasib dan kehidupan mereka. Rupanya mereka menipu untuk mendapat kuasa.

Biar ini menjadi iktibar buat semua. Jangan mudah termakan janji manis dan hasutan.

Bangkit dan desak mereka kotakan janji.

Jadikan PRK Cameron Highlands dan Semenyih nanti sebagai referendum rakyat untuk menyatakan hilangnya keyakinan kita pada mereka.

Ayuh bangkit tolak PH. - HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: