Selasa, 1 Januari 2019

Tangguh harga petrol, helah kaut untung

DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

PENENTUAN mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel mesti dibuat secara berhati-hati supaya para pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.
 
Harga yang diapungkan semula di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM) betul menguntungkan pengguna pada masa harga minyak mentah global menurun. Namun, jika tiada mekanisme pengawalan tertentu, pengguna juga perlu membayar harga yang lebih tinggi pada masa harga minyak mentah global meningkat.
 
Harus difahami bahawa harga minyak mentah global ini bukannya statik dan ia sukar dijangka kerana turun dan naiknya turut bergantung kepada keadaan geopolitik semasa antarabangsa.
 
Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan managed float system bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada petang semalam adalah memang sepatutnya.
 
Namun, saya berpandangan had harga maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel.
 
Had harga ini penting supaya beban kos sara hidup rakyat tidak bertambah dan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).
 
Kerajaan juga mesti mengehadkan kadar kenaikan harga runcit bahan api ini (dicadangkan maksimum 15 sen seliter) supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan yang mendadak.
 
Saya juga melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Kerajaan yang menangguhkan lagi penurunan harga runcit petrol dalam pasaran yang sepatutnya bermula hari ini.
 
Sejak diumumkan dalam Bajet 2019 pada awal November lalu, kenapa baru sekarang Kerajaan mahu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Petroleum Dealers Associations of Malaysia (PDAM) bagi memuktamadkan isu ini sedangkan PDAM adalah antara pemegang taruh yang utama dalam isu ini?
 
Jelas sekali bahawa tindakan menangguhkan ini menunjukkan sebenarnya Kerajaan mahu mengaut keuntungan daripada rakyat dengan membuat helah. Berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan APM, sepatutnya sejak awal Disember lalu RON95 dijual pada harga RM1.90 seliter.
 
Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, Kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna. Menjelang tahun baru, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung "subsidi" untuk Kerajaan.
 
*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI , Ahli Parlimen Kuala Nerus
 
HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: