Ahad, 13 Januari 2019

SKMM siasat gambar PH didakwa terbabit politik wang




Gambar yang tersebar di media sosial sejak pagi tadi menunjukkan 
beberapa individu memakai baju berlogo PH didakwa mengagihkan 
wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh 
berkempen PRK. (Gambar Facebook)

LIPIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menyiasat dakwaan pemberian wang oleh Pakatan Harapan (PH) seperti yang ditularkan melalui beberapa gambar dalam media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata SKMM memerlukan masa untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial media yang terlibat.

“Setakat sekarang, saya masih belum boleh berikan sebarang pengesahan berkenaan sebarang dakwaan dan tanggapan dibuat ramai pihak.

“Beri sedikit masa, kita tunggu sampai dapat maklumat tepat, baru kita akan terangkan keadaan sebenar atau kita boleh sahkan itu tak berlaku atau ada pihak-pihak yang cuba ambil kesempatan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke bilik gerakan PH Felda Sungai Koyan 3, di sini, hari ini.

Gambar menunjukkan beberapa individu memakai baju berlogo PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) mula tular di media sosial sejak pagi tadi.

Eddin Syazlee yang juga timbalan ketua PPBM Negeri Sembilan menegaskan amalan pemberian wang kepada pengundi bertentangan pegangan PH dan menganggap ia satu perbuatan tidak “gentleman” serta bermaruah.

“Kita tahu kalau PH sebenarnya nak gunakan kelebihan, kita sudah boleh gunakan jentera-jentera kerajaan seperti dibuat rejim dahulu, tapi ini kita tak buat, apa lagi dalam perkara-perkara melibatkan duit,” katanya.

Beliau yang mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Jelai, satu daripada DUN di bawah Parlimen Cameron Highlands turut mengadakan dialog bersama komuniti Orang Asli di Pos Betau dan Pusat Internet Desa Felda Sungai Koyan 3.

Tiada ulasan: