Selasa, 22 Januari 2019

Peguam Negara bertindak di bawah telunjuk politik?

NAZMAN CHE IBERAHIM





PEMUDA PAS Negeri Kelantan menunggu dengan penuh kehairanan sebutan kes saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu 'Tanah Adat' Orang Asli Suku Temiar pada Selasa, 22 Januari 2019 ini. Dengan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta sebagai defendan dalam kes ini, Peguam Negara (AG), Tommy Thomas melakukan perkara yang amat pelik.

Dalam kenyataannya Jumaat lalu, AG menyebut antara lain tindakan saman itu adalah bagi memenuhi manifesto pilihan raya PH sebelum ini. Apa yang cuba dimaksudkan oleh Tommy? Secara ringkas dapat difahami ia membawa makna bahawa tindakan ini adalah bersifat politik semata-mata. Sedangkan beliau sepatutnya tidak boleh kelihatan cenderung kepada mana-mana parti politik. Alang-alang melakukan perkara janggal sebegini, eloklah AG turut menyaman Kerajaan Persekutuan kerana puluhan lagi manifesto yang ditaburkan sebelum PRU14 masih gagal ditunaikan oleh Kerajaan PH.

Tommy sebagai AG sudah pasti teramat arif dalam memahami Perlembagaan Persekutuan, tetapi nampaknya tidak menghormati konsep Federalisma malahan kelihatan terburu-buru. Secara fundamentalnya hal berkaitan tanah adalah di bawah kuasa negeri, ia tidak perlu diperdebatkan. Malahan pula, di Kelantan atau mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tidak wujud Tanah Adat seperti yang dijadikan premis dan asas pendakwaannya. Berkali-kali dalam kenyataan AG disebut berkaitan Tanah Adat namun persoalannya adalah wujudkah Tanah Adat di Kelantan?

Atau merujuk pada adat apa? Adat siapa? Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam Undang-undang Tanah Kelantan dan tidak pernah diwartakan. Hampir semua tanah di Kelantan merupakan Rizab Melayu berdasar Enakmen Rizab Melayu 1930 dan ia lebih awal wujud berbanding Akta Orang Asli 1954.

Menyebut mengenai kemusnahan alam, hakisan, pencemaran dan kononnya kemusnahan ekologi dan landskap hutan, tidakkah AG menyedari bahawa dalam proses kelulusan dan juga pengoperasian kawasan pembalakan, laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta laporan daripada JPS berjalan seiring dengan sebarang keputusan Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Perhutanan Negeri? Ini bermakna sekiranya operator dan syarikat swasta ada melakukan apa-apa kesalahan, maka Kerajaan Negeri secara langsung boleh menamatkan dan menarik balik lesen mereka.

Maka tiada keperluan untuk menyabitkan perkara berkaitan kemusnahan alam sekitar dan sebagainya dalam isu saman ini. Ataupun sepatutnya Tommy harus menamakan juga JAS dan JPS Kelantan sebagai defendan kesembilan dan kesepuluh dalam saman pelik beliau kelmarin? Justeru rakyat Kelantan hanya melihat isu saman ini sebagai wayang sahaja kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Kerajaan PH sekiranya mereka benar benar ikhlas mahu membela Orang Asli.

AG seharusnya boleh menggubal undang-undang baharu, ataupun juga menambah baik sedia ada bagi membela nasib Orang Asli di negara kita. Ini lebih logik untuk dilaksanakan selepas lebih 9 bulan PH menguasai Putrajaya. Tindakan saman ini hanyalah satu jalan pintas ( short cut ) yang dilihat dangkal dan tergesa- gesa. Sudah pasti perkara ini menjadi manifestasi kepada kegagalannya dalam menjalankan tugas. Malahan boleh sahaja dikatakan Menteri Kabinet PH itu sendiri gagal dalam membela Orang Asli dan melakukan tindakan yang didasari oleh keinginan serta dendam politik semata-mata tanpa ada perancangan jangka masa panjang.

Begitu juga apabila disebut AG bahawa Kerajaan Negeri tidak berunding dengan Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor berkaitan rancangan pembangunan dan pembalakan di situ, maka persoalannya adalah dengan siapa kerajaan harus berunding? Adakah dengan NGO Jaringan yang selama ini cukup aktif melakukan sekatan ( blockade ) bagi menghalang hasil hutan Kelantan dibawa keluar? Sebelum PRU tempoh hari, Jaringan ini adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar. Jadi adakah Kerajaan Negeri sebelum meluluskan apa-apa konsesi sebelum daripada ini harus berunding dengan sebuah pertubuhan haram?

Adakah AG tahu bahawa Jabatan Perhutanan Kelantan sekian lama telah melantik sehingga 30 Renjer Hutan yang terdiri daripada Orang Asli bagi membantu pihak Kerajaan Negeri menguruskan hutan di sini? Dan tahukah AG bahawa Kelantan adalah antara negeri yang terbanyak memberikan geran milik tanah kepada keluarga Orang Asli? Di negeri ini juga seluas lebih 2,000 ekar tanah sudah diwartakan untuk penempatan Orang Asli dan 3,000 ekar lagi sedang dalam proses perwartaan sehingga tahun lalu. Malahan sejak 2016, terdapat sebanyak 54 permohonan yang dibuat dan tujuh daripadanya telah diluluskan manakala bakinya masih di dalam proses peringkat penilaian.

Semua kawasan yang telah dan akan diwartakan itu adalah ditentukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menjadi badan rasmi yang ditubuh dan dilantik oleh Kerajaan Pusat sendiri untuk bertindak sebagai penghubung kepada Orang Asli di negara ini. Adakah masih dikatakan Kelantan tidak berunding dengan wakil Orang Asli? Satu lagi kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan Orang Asli termasuklah memelihara alam, apabila pada bulan September lalu seluas 92,697 hektar telah diluluskan untuk pewartaan Kawasan Hutan Tadahan Air yang baharu bagi negeri ini.

Keluasan itu meliputi seluas 11,121 hektar kawasan orang asli di Pos Belatim dan Dakoh Gua Musang. Keseluruhan Kawasan Hutan Tadahan Air di Kelantan adalah seluas 128,595 hektar dan 20.97 peratus adalah dari Hutan Simpan Kekal (HSK).

Rakyat negeri ini masih ingat pada 10 Ogos tahun lalu, apabila 200 orang asli bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya berjanji akan berbincang dengan Kerajaan Kelantan untuk mencari penyelesaian terhadap isu tanah mereka. Kami tertanya tanya adakah 'berbincang' yang disebut oleh Tun itu difahami oleh AG sebagai tindakan saman? Saman itu suatu bentuk perbincangan yang matang?

Atau sebenarnya PH terpaksa menyaman Kelantan atas isu Orang Asli ini semata-mata mahu merancakkan kempen PRK Cameron Highland yang mana jumlah undi Orang Asli di sana amat signifikan. Adakah DAP di Cameron sedang tersepit dengan sokongan oleh Orang Asli yang kurang memberansangkan?

Tommy wajar meletakkan jawatan sebagai AG. Saman ke atas Kelantan ini menjadi tanda aras yang jelas kepada kegagalan beliau dalam menguruskan aspek perundangan negara. Malahan dengan skandal jogetnya itu juga, rakyat terbanyak sudahpun terhakis keyakinan kepada Tommy. Mengikut Warta Kerajaan Bertarikh 25 Jun 2009 (Kod Etika Hakim 2009) ada disebut, 

“Seseorang hakim tidak boleh:-
(c)     memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya”.

Ini amat wajar kerana dalam video jogetnya itu jelas terpapar dan kelihatan seorang peguam wanita yang sering berada di sekatan sekatan ( blockade ) haram yang dibina oleh Orang Asli Jaringan termasuklah menjadi peguam bela kepada kumpulan ini dalam saman saman pemula ke atas Kerajaan Negeri sebelum daripada ini. Ini 100 peratus bersalahan dengan etika seorang hakim. Encik Tommy, sila letak jawatan.

"Terus Mara"

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan , Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan 

Tiada ulasan: