LANGSUNG
| Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan
dakwaan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB
memasuki hari ke- 37 hari ini.
Malaysiakini membawakan laporan secara langsung prosiding dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
'Kalau ramai dibenarkan masuk lebih baik bersidang di pasar borong'
9.52 pagi: Jika
lebih ramai orang dibenarkan masuk ke mahkamah walaupun ada penjarakan
sosial, lebih baik perbicaraan diadakan di Pasar Borong Selayang, kata
hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Collin Lawrence Sequerah
memberitahu peguam bela utama Najib Razak sebagai respons kepada
permintaan peguam agar lebih ramai dibenarkan memasuki mahkamah.
Shafee
Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah dimaklumkan
sebelum ini bahawa beberapa peguam boleh dibenarkan memasuki mahkamah
pagi ini dengan menggunakan lima pas awam.
Shafee berkata, namun
apabila mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 7.45
pagi ini, semua pas awam telah diambil.
"Jadi lebih baik pergi ke Pasar Borong Selayang dan jalankan perbicaraan di sana tanpa sekatan.
"Berapa ramai orang yang anda mahu di mahkamah," soal Sequerah kepada Shafee.
"Kebimbangan
saya adalah jika kita tidak mematuhi SOP, maka tidak ada gunanya,
seperti juga benarkan sesiapa saja untuk masuk," kata Sequerah sambil
menambah kesihatan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.
9.50 pagi:
Perbicaraan 1MDB bermula dengan timbalan pendakwa raya (DPP), Gopal Sri
Ram meminta mahkamah membenarkan rakan DPP, Ahmad Akram Gharib duduk di
sebelahnya di mahkamah.
Gopal memberitahu Hakim Collin
Lawrence Sequerah bahawa beliau memerlukan Akram untuk membantunya
berhubung eksibit semasa pemeriksaan ke atas saksi.
Bagaimanapun,
permintaan itu ditolak hakim, yang mengatakan mahkamah perlu mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Sequerah
enggan berganjak daripada keputusannya, walaupun selepas Gopal
memberitahu beliau mengenai mesej dari Ketua Pendaftar bahawa hakim
boleh menggunakan budi bicara dalam perkara itu.
"Dalam kes ini saya enggan menggunakan budi bicara saya. Saya akan tetap dengan arahan sekarang.
"Sila tulis kepada Ketua Hakim Malaya," kata Sequerah.
Gopal kemudiannya melanjutkan permintaan lagi kepada hakim, yang datang dari saksi pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Beliau
mengatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu tidak dapat hadir
sepanjang perbicaraan hari ini, dan telah meminta perbicaraan diteruskan
sehingga pukul 2 petang sebelum ditangguhkan.
Sequerah membenarkan permohonan itu.
9.44 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh apabila perbicaraan bermula.
9.30 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dilihat memakai pelitup muka, beliau mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.
Bekas
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan
menyambung keterangan dalam sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan
pada hari ke-37 perbicaraan Najib Razak berkaitan dakwaan penyelewengan
dana RM2.28 bilion 1MDB hari ini.
Saksi kesembilan pendakwaan itu akan menyambung keterangan daripada prosiding semalam, selepas perbicaraan selama lebih enam bulan ditangguhkan beberapa kali.
Prosiding
semalam menyaksikan banyak perkembangan pada sesi sebelah petang, di
antaranya pihak pendakwaan mahu memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Najib berhubung satu kenyataan beliau yang dipetik daripada artikel Reuters.
Dalam
artikel bertarikh 4 Mac itu, tertuduh dipetik sebagai berkata beliau
menjangkakan keadaan semasa "lebih kondusif" untuk mendapatkan perbicaraan yang adil berikutan perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).
Semasa
perbicaraan semalam, DPP Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah bahawa anak tiri Najib,
Riza Aziz menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib.
Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan
tanpa membebaskan Riza atas tuduhan pengubahan wang haram berkaitan AS$
248 juta wang 1MDB, selepas bersetuju mengembalikan jutaan ringgit
kepada kerajaan.
Ketika disoal oleh Shafee semalam, Shahrol
memberitahu mahkamah bahawa lembaga pengarah 1MDB mengeluarkan butiran
terpeinci dalam beberapa minit mesyuarat untuk 'melindungi' Najib.
Pada sidang media selepas prosiding semalam, Shafee berkata "kebenaran" daripada
kenyataan Riza dapat membantu beliau dalam kesnya dan oleh itu
sekiranya Riza memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB ini, sebenarnya
ia juga boleh membantu kes Najib.
Di hadapan media semalam, Shafee turut mempersoalkan kritikan terhadap keputusan membebaskan tanpa melepaskan Riza.
Peguam itu mempersoalkan
mengapa pembebasan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng atas tuduhan
rasuah melibatkan pembelian sebuah banglo pada harga pasaran tidak
dibangkitkan.
Lim dibebaskan ketika Jabatan Peguam Negara diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas
Perbicaraan terhadap Najib di hadapan hakim Sequerah dijangka disambung semula sekitar jam 9.30 pagi ini.