Tuesday, July 10, 2018

Putrajaya tidak akan lantik ahli politik jadi duta

 
Menteri luar berkata, mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang berminat boleh memohon jawatan itu mengikut prosedur sedia ada yang ditetapkan Wisma Putra.


Saifuddin Abdullah berkata, saringan akan dilakukan pegawai tertinggi Kementerian Luar sebelum beliau memilih daripada senarai calon untuk menjadi duta.


SHAH ALAM: Kementerian Luar memutuskan tidak akan ada lagi lantikan baru duta besar Malaysia dalam kalangan ahli politik, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, sebaliknya proses pelantikan itu akan dibuat mengikut prosedur sedia ada yang ditetapkan Wisma Putra.

“Bagi pelantikan selepas ini, kami buka kepada mana-mana pegawai tinggi (kerajaan), sesiapa yang berminat mereka boleh cuba memohon jawatan ini.

“Saringan akan dilakukan pegawai tertinggi kementerian sebelum nama calon duta itu diputuskan saya,” katanya selepas menjadi panel jemputan dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf hari ini.
Beliau mengulas status beberapa ahli politik yang dilantik menjadi duta oleh kerajaan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu itu diselesaikan secara baik sebelum beliau dilantik menjadi menteri.

“Saya dimaklumkan kes itu telah pun diselesaikan dan dibuat tanpa campur tangan pihak saya. Seorang telah pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi akan balik (ke Malaysia).”

Sebelum ini, kontrak bekas duta besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ditamatkan 4 bulan lebih awal dari tarikh sepatutnya, iaitu Oktober depan.

Duta ke Vatican City, Tan Sri Bernard Dompok dilaporkan pulang ke negara ini selepas mendapat arahan Wisma Putra.

“Kami melihat (jawatan) duta besar ini amat penting sebagai wakil negara, kami mahu pelantikan mereka ini biarlah mengikut kelayakan yang sepatutnya, bukan sahaja dari segi taraf pendidikan, tetapi juga kemahiran berbahasa mengikut negara berkenaan.”

No comments: