Monday, July 30, 2018

Pengurusan polisi tidak cekap punca Proton gagal - Tun Mahathir

Hafiz Marzukhi, Astro Awani
Pengurusan polisi tidak cekap punca Proton gagal - Tun Mahathir
MAHATHIR: Dahulu, Proton berjaya dalam pasaran Malaysia dan juga luar negara.
 
KUALA LUMPUR: Pengurusan polisi yang tidak cekap merupakan punca Proton sukar membuat keuntungan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dasar yang tidak memberi kelebihan kepada kereta tempatan menyukarkan Proton untuk menguasai pasaran automotif.

"Dahulu, Proton berjaya dalam pasaran Malaysia dan juga luar negara.

"Namun, oleh kerana pemerintahan yang kurang cekap dan tidak tahu dengan kehendak industri, ini yang menyebabkan prestasi Proton merosot.

"Kerajaan dahulu telah membenarkan masuk segala kereta tanpa memberi peluang kepada Proton untuk memasuki pasaran luar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Tun Mahathir, keadaan ini menyukarkan Proton untuk menandingi syarikat-syarikat automotif besar dari negara luar.

"Apabila syarikat-syarikat gergasi ini memasuki pasaran, sudah pasti sukar untuk Proton menandingi produk keluaran mereka," katanya ketika menjawab soalan dari Datuk Seri Wee Ka Siong (BN - Ayer Hitam) ketika sesi jawab lisan pada hari ini.

Soalan Ka Siong merujuk kepada pengumuman Tun Mahathir mengenai projek kereta nasional baharu ketika melawat Jepun serta adakah Kerajaan mengambil iktibar mengenai kegagalan Proton selama ini.

Selain itu, Tun Mahathir berkata Kerajaan juga sedang mempertimbangkan serta mengkaji keperluan untuk mengubah dasar berhubung pasaran automotif dalam negara.

"Perlu ada syarat-syarat tertentu agar tidak mudah bagi 'kereta asing' untuk masuk ke pasaran Malaysia dengan mudah.

"Kita dalam proses mengkaji perkara ini," katanya

No comments: