PADA hari Ahad yang
lepas, saya dijemput menjadi panel sebuah forum anjuran sebuah
pertubuhan profesional muda Kelantan (I-GRAD) di Kota Bharu, bagi
membincangkan topik SST dan kesannya kepada rakyat.
Saya memulakan bicara dengan
menggariskan prinsip muamalat dalam Islam yang menekankan aspek
keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi.
Ini dapat dilihat antaranya dengan
seruan untuk membelanjakan harta di jalan Allah, larangan mengambil
harta secara batil, larangan memakan riba dan rasuah, serta larangan
harta hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja.
Secara takrifannya, rejim GST adalah
cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas semua barangan dan
perkhidmatan, kecuali yang dikeluarkan daripada senarai cukai (everything is taxable, except excluded).
Manakala rejim SST adalah cukai
kepenggunaan yang tidak dikenakan ke atas semua barangan dan
perkhidmatan, kecuali yang dimasukkan dalam senarai cukai (everything is non-taxable, except included).
Juga perlu difahami bahawa, SST adalah
dua cukai yang tersendiri dan dikuatkuasakan oleh dua akta berbeza,
iaitu Akta Cukai Jualan (Sales Tax) dan Akta Cukai Perkhidmatan (Services Tax).
Dalam konteks kesan daripada pelaksanaan
SST, saya menyebutkan terdapat lima implikasi utama kepada ekonomi
negara dan rakyat, iaitu:
1. Pertumbuhan ekonomi - kenaikan cukai
akan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat, seterusnya merencatkan
pertumbuhan ekonomi negara. Begitulah pula sebaliknya.
2. Sumber hasil kerajaan - pungutan
cukai SST dijangka lebih rendah daripada GST (anggaran RM20b vs RM40b),
menyebabkan SST perlu ditampung dengan kenaikan cukai lain seperti cukai
korporat, serta dasar penjimatan oleh kerajaan (contoh penangguhan
MyBrain).
3. Kos sara hidup - pelaksanaan cukai
akan meningkatkan kos pembuatan dan perkhidmatan oleh pihak pengilang
dan peniaga, seterusnya mendorong kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna.
4. Kos pentadbiran dan pematuhan -
kelemahan paling utama sistem cukai SST adalah ianya tidak transparen,
elemen penipuan, pemindahan harga (transfer pricing), dan manipulasi
harga, yang menuntut kepada penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak
kerajaan.
5. Agihan cukai - penumpuan perlu
diberikan terhadap reformasi agihan cukai yang lebih cekap, efektif dan
adil kepada rakyat dan wilayah. Adalah salah sekiranya sesuatu cukai
dikutip daripada rakyat bagi menampung pembaziran, ketirisan dan rasuah
yang dilakukan oleh kerajaan.
Persoalannya apakah tujuan SST ini
dilaksanakan kembali? Jika untuk menambah hasil kerajaan, SST bukan
pilihan yang bijak. Jika untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup
rakyat, SST tidak menjanjikan harga yang lebih rendah berbanding GST.
Ini dapat dilihat dalam beberapa
simulasi harga oleh pengeluar kenderaan, barangan perabot dan jenama
tertentu yang menunjukkan harga baru selepas dikenakan 10% SST adalah
lebih tinggi berbanding harga di bawah rejim cukai GST 6%.
Antara faktor yang menyumbang kepada tiadanya perubahan harga (price stickiness)
adalah rantaian pembuatan dan perkhidmatan yang dimonopoli atau
dimanipulasi oleh peniaga, di samping kenaikan kos operasi kepada
peniaga, kesan daripada kenaikan kos bahan, dasar gaji minima, kejatuhan
nilai ringgit, dan seumpamanya.
Ternyata, GST dan SST bukanlah sistem cukai terbaik untuk menambah hasil kerajaan dan mengurangkan kos sata hidup rakyat
Di sini pentingnya semua pihak untuk mengkaji dan menilai alternatif selain GST dan SST yang boleh dilaksanakan di Malaysia.
Antaranya melalui regim cukai keuntungan dan cukai kekayaan seperti Real Property Gain Tax, Capital Gain Tax, Windfall Tax, Tax on Share Trading, Tax on Idle Deposit, Tax on Inheritance, dan seumpamanya.
Dalam aspek ini, PAS telah mengemukakan
cadangan alternatif terhadap GST di dalam Dokumen Hijau yang dilancarkan
pada 2015. Di dalamnya terkandung segala prinsip, mekanisma dan
anggaran kutipan 2.5% Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham, yang
dikenakan ke atas 'lebihan kekayaan' bagi menjana hasil kepada kerajaan.
Saya menyatakan, sekiranya ada pihak
lain di kalangan parti politik, NGO, ahli akademik atau persatuan
peniaga yang mempunyai cadangan yang lebih baik, dipersilakan untuk
dibentang dan dibahas.
Sekiranya tiada, terimalah dahulu
cadangan daripada PAS untuk diperhalusi, dibahas dan ditambah baik, demi
kebaikan ekonomi negara dan rakyat. HARAKAHDAILY
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama GST dan SST;
Dua tiga janji diberi,
Mana nak sama janji ditepati.
*Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
No comments:
Post a Comment