Tuesday, July 10, 2018

Malaysia bercelaru jika iktiraf UEC, kata Pemuda Umno

 
Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak ada negara yang mempunyai lebih daripada satu sistem pendidikan negara kerana ia menyukarkan pembinaan identiti negara dan bangsa bersepadu.
 
 
 
Asyraf Wajdi Dusuki (duduk, tengah) pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Pemuda Umno yang pertama sejak dipilih menerajui sayap itu, bulan lalu.


KUALA LUMPUR: Pemuda Umno membantah cadangan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan UEC akan meletakkan indentiti pendidikan negara dalam keadaan bercelaru.

“Pemuda tidak bersetuju untuk pengiktrafan sijil (UEC) selain daripada apa yang kita ada di peringkat negara hari ini kerana kita tidak boleh mempunyai 2, 3 sistem pengiktirafan, kalau tidak kita akan gagal membina identiti negara, bangsa bersepadu.
“Mana ada negara-negara mempunyai sistem sepertimana kita hari ini? Saya rasa Singapura hanya mengiktiraf satu sistem sahaja,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat Pemuda Umno yang pertama sejak dipilih menerajui sayap itu, di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri.

Dalam isu lain, Asyraf berkata, Pemuda Umno turut membantah cadangan penutupan sekolah tahfiz oleh bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin yang mendakwa ia tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Beliau menyifatkan cadangan itu amat dangkal dan tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah mencabar keputusan Majlis Raja-raja dan pihak berkuasa agama negeri.

“Apa juga seruan menutup tahfiz ini, mereka harus jelas bahawa kuasa yang berkaitan agama adalah kuasa mutlak Majlis Raja-raja dan pihak berkuasa agama negeri.

“Hujah yang diletakkan untuk menghapuskan atau menutup sekolah tahfiz ini tidak kuat, bahkan bagi saya amat dangkal sekali kerana pandangan mengatakan ia tidak mampu melahirkan generasi baru Islam yang baik dan seimbang.”

Katanya, sekolah tahfiz sepatutnya diperkasakan lagi seperti digariskan di bawah Dasar Pendidikan Negara.

“Saya rasa lebih baik memperkasakan apa yang kerajaan sebelum ini laksanakan atau sudah gubal dalam Dasar Pendidikan Negara. Kerajaan Barisan Nasional telah merangka satu ‘blue print’ yang jelas bagaimana generasi tahfiz ini kita bina, seperti generasi huffaz.

“Huffaz bukan sahaja hafaz 30 juzuk al-Quran, tapi mereka mempunyai penguasaan disiplin ilmu dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai aspek teknikal dan vokasional,” katanya yang berharap kerajaan akan meneruskan usaha itu untuk mencapai 150,000 huffaz yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

LIHAT VIDEO DI SINI



No comments: