Wednesday, July 25, 2018

NGO tegur k'jaan agresif pada 1MDB, tapi 'lepaskan' Taib

MALAYSIAKINI


Kerajaan tidak boleh agresif dalam kes 1MDB sahaja tetapi tidak mempedulikan dakwaan-dakwaan terhadap Yang Dipertua Sarawak Tun Taib Mahmud, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

“Rakyat Malaysia yang mengundi dengan semangat antikleptokrasi dan antirasuah di Malaysia tidak boleh bertolak ansur terhadap ketidakpedulian ini.

“C4 menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan tegas dan segera,” kata pengarah eksekutif kumpulan itu Cynthia Gabriel.

Dalam kenyataan hari ini, Cynthia menggesa Peguam Negara Tommy Thomas “menjadi berani, adil dan tidak memilih pendakwaan” dalam dakwaan kes-kes kleptokrasi Taib.

“Kita tidak boleh agresif terhadap 1MDB dan biarkan perkara ini terlepas. Rasuah seperti ini, jika benar, tiada tempat dalam Malaysia baru,” kata Cynthia.

NGO berpangkalan di Switzerland Bruno Manser Fund menuduh keluarga Taib bertanggungjawab terhadap pembalakan berleluasa di Sarawak dan mengganggarkan kekayaannya sekitar RM46 bilion.

Menteri undang-undang Liew Vui Keong bagaimanapun berkata Tiab telah dibersihkan daripada salah laku pada 2013.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Mohd Shukri Abdul berkata pihaknya telah membuka 15 kertas siasatan terhadap Taib tetapi tidak dapat mengaitkannya tanpa maklumat baru.

Cynthia bagaimanapun berkata BMF bersedia berkongsi maklumat mereka.

Taib telah menafikan sebarang salah alu sepanjang menjadi ketua menteri Sarawak dari tahun 1981 hingga 2014.

No comments: