Wednesday, April 25, 2018

Sokongan pengundi di Permatang Pasir meningkat, perubahan diyakini berlaku



Faiz disambut mesra oleh salah seorang pengundi Permatang Pauh ketika turun padang menemui penduduk kelmarin.


Pakatan Harapan (PH) telah bergerak lebih awal sebelum pembubaran Dun Pulau Pinang lagi.
Aktiviti dan kempen yang dijalankan dipergiatkan setelah sambutan masyarakat terhadap PH semakin baik dan sokongan semakin bercambah.

Ekoran dokongan yang semakin menggalakkan, program membantu masyarakat khususnya pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir ditingkatkan sehingga ke hari ini.

Demikian dinyatakan oleh calon Dun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas menyantuni pelbagai golongan masyarakat dan pengundi kelmarin.

Jelas beliau lagi, isu yang menjadi daya sokongan semakin meningkat berkait rapat dengan kos sara hidup yang melampau, cukai GST yang dikenakan serta kos barangan yang semakin membebankan.

“Bersama-sama dengan gerak kerja PH saya begitu optimis pengundi Dun Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh berani untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei nanti.

“Pengundi juga yakin hanya dengan perubahan dalam PRU kali ini sahaja mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang membelenggu mereka selama ini.

“Undi akan diberikan kepada parti yang mahu membentuk kerajaan dengan polisi yang dapat mengatasi masalah ekonomi rakyat,” ujarnya.

Faiz Fadzil bersama poster Menang Dun Permatang Pasir.

Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH turut berkata, rata-rata pengundi Dun Permatang Pasir cukup arif dengan senario politik semasa.

“Mereka berani untuk menolak mana-mana parti yang bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Penggunaan logo KEADILAN begitu sebati dengan pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir maupun Parlimen Permatang Pauh.

“Pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir selama ini teguh berdiri di belakang perjuangan PKR yang diterajui oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah,” tegasnya lagi.

Malah kata Faiz lagi, hubungan akrab beliau dengan PKR serta masyarakat setempat adalah kunci penerimaan baik pengundi dalam kawasan yang akan ditandinginya.

Tambahnya, jentera PH akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan rakyat di Dun Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh pada 9 Mei nanti.

“Pengundi telah merasai kebajikan dan pembelaan melalui dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui program peduli rakyat seperti I-Sejahtera dan juga pelbagai bentuk sumbangan sejak 2008 lagi.

“Program sumbangan berbentuk ‘one-off’ yang diberikan saban tahun untuk warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas maupun sumbangan yang sama bagi pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat setiap tahun.

Faiz menyantuni penduduk di Pekan Permatang Pauh kelmarin.

“Sumbangan kepada pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi, anak yang baru dilahirkan dengan sumbangan sebanyak RM200 serta sumbangan kepada penarik beca, pemandu teksi, nelayan, operator bas sekolah dan sebagainya amat membantu rakyat di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga membantu dengan menyumbangkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz, Pondok, Kelas KAFA, Tadika Islam dan pelbagai lagi institusi hingga Dun dibubarkan baru-baru ini.

Oleh kerana itu kata Faiz lagi, bukan saja pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh akan meneruskan sokongan melalui undi yang akan diberikan, sebaliknya ia akan mengulangi kejayaan PRU ke-12 dan ke-13 yang lalu, apabila BN tetap kekal sebagai pembangkang di Pulau Pinang bagi penggal ketiga 9 Mei nanti.

No comments: