Monday, April 2, 2018

Rundingan ambil alih Splash dilanjut sehingga Julai 2018 [TONTON VIDEO]

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tarikh rundingan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), yang sepatutnya dimuktamadkan pada bulan lalu, dilanjutkan sehingga 4 Julai 2018.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata, permohonan lanjutan selama sembilan bulan itu dilakukan oleh kerajaan pusat menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam surat kepada kerajaan Selangor bertarikh 28 September 2017.
 
"Pada 28 September 2017, satu lagi surat daripada kementerian dihantar ke kerajaan negeri yang menyatakan memandangkan perjanjian jual beli saham dijangka tak dapat dimuktamad pada atau sebelum 5 Oktober (2017), maka seperti yang diperuntukkan dalam klausa 5 perjanjian, pihak-pihak kepada perjanjian utama hendaklah melanjutkan SPLASH 'target date' kepada satu tempoh yang dipersetujui bersama.  
 
"Dan dalam surat sama, kementerian juga cadangkan supaya perjanjian jual beli saham dilanjutkan 9 bulan iaitu sehingga 4 Julai 2018. 
 
"Maka tarikh lanjutan sehingga 4 Julai itu ditentukan oleh kementerian," katanya dalam sidang DUN hari ini.
 
Azmin berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak.
 
Sulaiman sebelum itu membidas kerajaan negeri kerana masih belum memuktamadkan rundingan pengambilalihan Splash sedangkan tempoh sebenarnya sudah berakhir pada Oktober lalu.
 
"Rundingan ini sampai Oktober tapi sekarang November. Soalan saya, berapa nilai tawaran daripada kerajaan negeri kepada SPLASH," soalnya.
 
Sidang DUN hangat seketika akibat 'pertikaman lidah' antara Azmin dengan Sulaiman, apabila ADUN Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan negeri mengemukakan nilai sebenar pengambilalihan Splash yang ditawarkan kerajaan negeri.
 
Azmin kemudian membidas kembali dengan menyalahkan kerajaan persekutuan kerana 'bermain tarik tali' apabila enggan mendedahkan harga yang ditentukan oleh badan penilaian bebas, Deloitte Corporate Solutions Sdn Bhd (Deloitte Malaysia).
 
Deloitte Malaysia adalah badan penilai bebas yang dilantik oleh kerajaan persekutuan untuk menentukan nilai pengambilalihan Splash.
 
"Kerajaan negeri sudah jawab (surat) pada 4 Oktober 2017 di mana kerajaan negeri nyatakan secara jelas kita rasa kecewa kerana maklum balas berkaitan hasil dapatan penilaian yang dibuat dibuat Deloitte  hanya dikemuka kepada kerajaan negeri setelah tiga bulan.
 
"Tiga bulan nak jawab surat kerajaan negeri...itupun jawapan yang diberikan 'maklum balas yang dikemukakan oleh Deloitte adalah hanya kepada kerajaan persekutuan sahaja dan tak boleh dikongsi dengan kerajaan negeri'," kata Azmin. 
 
Ujarnya, tindakan kerajaan Persekutuan itu tidak telus sebagaimana langkah kerajaan negeri yang terlebih dahulu melantik panel penilai bebas dan kemudiannya menyerahkan satu salinan laporan penilaian bebas itu kepada kerajaan Persekutuan pada Jun 2016.
 
"Mengapa kerajaan Persekutuan ambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri untuk melakukan penilaian bebas, tapi bila Deloitte dah siap buat penilaian, angka itu disorok dan tak mahu dikongsi dengan kerajaan negeri. Ini persoalannya," jawab Azmin.
 
Ogos lalu, Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, urusan pemerolehan Splash oleh kerajaan Selangor belum selesai dan negeri itu belum menawarkan sebarang harga bagi proses pengambilalihannya.
 
Ujarnya, rundingan antara kerajaan Selangor dan Splash mengenai nilai pengambilalihan syarikat itu dibuat atas kerelaan penjual dan pembeli.
 
Menurut beliau, kementerian itu hanya menjadi pemudah cara proses berkenaan.
 
 
 

No comments: