KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad
Zarkashi tetap tabah walaupun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14).
Beliau mengeluarkan kenyataan itu, selepas 'kejutan' apabila namanya
tidak tersenarai untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat yang
pernah ditandinginya pada PRU-13.
"Hari ini walaupun tidak dicalonkan semula tetap tabah ke 15 sekolah
menyampaikan sumbangan RM6,000 kepada setiap Kelab Bilik Guru (KEBIRU),"
katanya menerusi akaun Facebook miliknya dipetik BH Online hari ini.
Pada majlis pengumuman calon BN Johor semalam, Ketua Wanita Umno
Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah diumumkan sebagai calon bagi kerusi
Parlimen Batu Pahat.
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mendakwa Mohd Puad akan
meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
dan bakal bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu Pahat
kerana tidak dicalonkan oleh BN.
Beliau didakwa kecewa dengan sistem pemilihan calon yang digunakan
Umno, selain dikatakan pernah menjadi mangsa fitnah dalaman parti
menyebabkannya tidak dicalonkan semasa pilihan raya pada 1999 dan 2004.
Mohd Puad pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas berjaya
menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968
undi pada 2008 ketika PRU-12.
Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi itu semasa PRU-13
selepas tewas pada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi yang memperoleh
38,563 undi, dengan majoriti 1,524 undi.
No comments:
Post a Comment