Sunday, April 1, 2018

PRU14 : TOLAK CALON ‘NOMAD’ – ZAHID




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat menolak calon ‘nomad’ yang sering berubah kawasan pilihanraya dan hanya muncul lima tahun sekali secara bermusim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cukuplah kesan negatif yang ditinggalkan calon nomad sebelum ini yang hanya datang lima tahun sekali tanpa mempedulikan masalah rakyat.

“Mana mungkin seseorang yang dipilih atas dasar kemarahan, kekecewaan dan disebabkan anti establisment, akhirnya kita (rakyat) terpaksa menerima akibat atas salah pilih berkenaan.

“Calon-calon nomad harus ditolak. Cukuplah terima calon-calon nomad, (sebaliknya) pilih calon-calon yang komited,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Penempatan Semula Setinggan Desa Jaya, di Johor Bahru, pada Jumaat.



Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ahmad Zahid berkata, usaha segelintir pihak meletakkan calon nomad yang datang lima tahun sekali hanyalah sekadar mahu meniup lagu kebencian kepada rakyat dan kemudiannya meninggalkan sekadar meninggalkan “najis” dan beralih ke kawasan lain setiap lima tahun.

“Setiap lima tahun pemimpin itu akan meninggalkan kawasan dan meninggalkan najis di tempat lama. Bila mereka pergi ke tempat yang baru, najis mereka seolah-olah dibasuh oleh orang lain.

“Cukuplah rakyat Malaysia (terima calon nomad), Jangan lagi memilih calon nomad yang hanya muncul lima tahun sekali,” katanya.


No comments: