Sunday, April 1, 2018

Majlis Setiausaha PH ambil alih kerusi gagal agih di Selangor

 
Kerusi terlibat ialah Lembah Jaya, Seri Serdang, Sungai Burung, Sungai Panjang, Kota Damansara dan Dusun Tua.


Gambar facebook


PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) akan mengambil alih 6 kerusi di Selangor yang gagal dimuktamadkan dalam rundingan agihan kerusi yang dilanjutkan beberapa kali sebelum ini, kata Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.

Menurut Izham, majlis itu juga akan mengambil alih kerusi-kerusi di negeri-negeri lain yang juga gagal dimuktamadkan oleh parti-parti komponen gabungan itu.

Beliau berkata, 6 DUN Selangor yang masih belum selesai ialah Lembah Jaya, Seri Serdang, Sungai Burung, Sungai Panjang, Kota Damansara dengan Dusun Tua.

“Negeri-negeri yang belum selesai akan diselesaikan…sama ada dirujuk kepada majlis presiden bergantung kepada mesyuarat pada Isnin,” katanya.

Rundingan kerusi di Selangor sepatutnya diselesaikan hujung Januari lalu, tetapi dilanjutkan atas permintaan PH Selangor yang gagal memuktamadkan pengagihan kerusi milik PAS dan Umno antara PKR, PPBM dan Amanah.

Pada 25 Mac lalu, Izham berkata PH Selangor akan menunggu pembentangan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen Rabu lalu, sebelum memuktamadkan pembahagian kerusi DUN, kerana ia mungkin memberi kesan kepada kerusi sedia ada.

Tetapi nampaknya, 6 kerusi tersebut masih tidak boleh diselesaikan kerana ada pertindingan tuntutan antara PKR, DAP, PPBM dan Amanah.

“Ada tuntutan dari keempat-empat parti. Lepas itu dia minta balik ke parti masing-masing tengok macam mana kaedah penyelesaian terakhir.

“Selepas itu tiada pertemuan lagi kerana sibuk dengan pelancaran manifesto dan jelajah tak sempat dihalusi. Saya rasa minggu depan. Tak ada pilihan dah kerana nak bubar dah ni,” katanya.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan pada PRU13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP bagaimanapun berkurang 1 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti.

No comments: