KUALA LUMPUR – MIC dilihat cuba mengikuti jejak MCA yang gah membariskan beberapa calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).
Walaupun pada awalnya parti itu mendedahkan beberapa nama namun akhirnya MIC hanya memberi peluang Ketua Wanitanya, Datuk Mohana Muniandy untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
Persoalannya adakah MIC kekurangan wanita berkaliber dan calon ‘winnable’ sehingga menyebabkan hanya seorang sahaja calon wanita diberi peluang mewakili peruntukan 9 kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Sebelum ini, Thangarani Thigarajan atau lebih dikenali ‘Cikgu Rani’ hebat diperkatakan bakal disenaraikan sebagai calon kerusi Parlimen Sungai Siput namun nama tercicir ketika senarai dikeluarkan.
Nama Thangarani ‘digantikan’ dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany yang pernah kalah di kerusi tradisi itu pada PRU13.
Sebelum SK Devamany dan Thangarani, nama lain yang pernah dikaitkan dengan Sungai Siput adalah Setiausaha Agung MIC, Datuk A. Sakthivel dan Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.
Menurut sumber, Thangarani sebelum ini telah diminta oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk ‘turun padang’ dan bekerja di DUN Buntong.
Tidak lama selepas itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr Subramaniam pula meminta beliau ke kerusi Parlimen Sungai Siput.
Berikutan itu, Mohana melahirkan rasa gembira kerana beberapa calon wanita akan diketengahkan untuk bertanding pada PRU14.
Namun Ketua Cawangan dan ahli Sungai Siput enggan menerima pencalonan itu kerana mahu pemimpin seperti Vell Paari yang juga merupakan anak bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu mewakili kawasan itu.
Senarai muktamad yang dikeluarkan petang semalam tidak menamakan Thangarani di mana-mana kawasan di Perak termasuk di Sungai Siput atau Buntong.
Sumber memberitahu MalaysiaGazette, berkemungkinan besar kerusi Buntong akan jadi milik Thangarani yang sudah mula berkecimpung dalam kancah politik seawal 1983.
“Calon untuk kerusi DUN Buntong belum diisi. Mungkin ia milik Thangarani. Kita tunggu dan lihat, semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya.
Thangarani juga merupakan Timbalan Ketua Wanita Kebangsaan MIC dan Ketua Wanita MIC Perak sejak 2013.
Dengan kelayakan M Ed (Hons) dan menjadi pengajar lebih 32 tahun, Thangani dan suaminya, Thangarajan seorang jurutera sivil juga mempunyai syarikat sendiri di Ipoh selain daripada menjalan perniagaan runcit di Sungkai dan Trolak sejak 40 tahun lepas.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC Selangor, Kajendran Doraisamy yang pada awalnya dikatakan calon Parlimen Kota Raja dan sudah mula aktif turun padang akhirnya tidak disenaraikan, sebaliknya parti itu menamakan Ahli CWC, V. Gunalan dari Sepang sebagai calon.
Segelintir penyokongnya mula meluahkan rasa tidak puas hati dan mendesak mahu kerusi Kota Raja diberikan kepada Kajendran yang dilihat jauh lebih berkaliber. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment