Monday, April 2, 2018

Ahli Parlimen MCA dakwa wanita tular sengaja burukkan polis

 
Khoo Soo Seang mendakwa wanita mengadu tidak dibenarkan memasuki balai polis berniat tidak baik kerana tidak menamakan balai terlibat.




KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen MCA mencetuskan gempar apabila mendakwa wanita yang tular kerana aduannya terhadap seorang anggota polis di Balai Polis Alam Damai baru-baru ini sengaja mahu memburukkan pihak berkuasa.

Khoo Soo Seang (MCA-Tebrau) berkata wanita itu berniat tidak baik kerana beliau percaya wanita itu tidak menamakan balai polis terlibat, hanya untuk dibetulkan oleh wakil-wakil rakyat lain.

“Saya nampak rakaman Youtube ada wanita menangis kononnya diikuti orang. Dia pergi ke balai polis tapi tidak dibenarkan masuk. Saya tidak faham kenapa dia tidak sebut nama balai polis.

“Sepatutnya kalau dia hendak mengadu dia seharusnya beritahu nama balai polis. Saya percaya ia hanyalah untuk burukkan nama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Teo Nie Ching (DAP-Kulai) bangun dan berkata pemimpin MCA itu sudah menyebarkan berita tidak benar. “Tebrau sebarkan berita palsu. Wanita itu sudah sebutkan nama balai, iaitu di Bandar Damai Perdana.”

Khoo bagaimanapun enggan menarik balik tuduhannya, lalu mengisytiharkan sokongan kepada Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018.

“Saya sokong RUU Antiberita Tidak benar,” katanya.

RUU itu sedang dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini. Difahamkan seorang Ahli Parlimen juga kebal daripada tindakan undang-undang di atas kenyataan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat.

Tidak dipastikan mengapa pemimpin MCA berbuat demikian.

Dalam kejadian 13 Mac lepas, Kogee Sinniah mendakwa anggota polis di Balai Polis Alam Damai tidak menolongnya walaupun dia berdekatan balai apabila sekumpulan pemuda menghalang laluannya.

Dalam satu video yang tular di media sosial, Kogee dalam keadaan teresak-esak mendakwa dia diekori sekumpulan lelaki menyebabkan dia ke Balai Polis Alam Damai untuk mendapatkan perlindungan.

Kenderaannya dihalang oleh kumpulan lelaki itu di satu lampu isyarat berhampiran balai berkenaan.
Kogee membunyikan hon selama 5 minit namun tiada bantuan tiba. Kumpulan lelaki itu akhirnya berlalu pergi dan Kogee pergi ke Balai Polis Alam Damai tetapi tak dibenarkan masuk.

Selepas kejadian itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata 3 lelaki, berusia dalam lingkungan 18 tahun, ditangkap untuk siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Beliau juga berkata siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang kesalahan di pihak anggota bertugas.

No comments: