Monday, April 2, 2018

Agihan kerusi PH Selangor: Jangan pandai-pandai, kata Xavier kepada Izham

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim sepatutnya merujuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukannya 'pandai-pandai' membuat sebarang kenyataan berhubung status rundingan kerusi, yang belum disepakati sehingga kini. 
 
Itu penegasan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar, sekaligus menolak dakwaan Izham bahawa baki enam kerusi yang masih dipertikai gagasan itu akan diambil alih Majlis Setiausaha PH. 
 
"Izham ini, saya tidak tahulah, dia sepatutnya kena buat rundingan dengan Pengerusi sebelum buat kenyataan. Pandai-pandai sangat buat kenyataan Izham ini. 
 
"Tidak ada, masih Pengerusi Negeri akan selesaikan dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Izham dilaporkan berkata, Majlis Setiausaha PH akan mengambil alih enam kerusi di Selangor yang gagal dimuktamadkan dalam rundingan agihan kerusi, meskipun tarikh akhirnya telah dilanjutkan beberapa kali. 
 
Beliau memaklumkan, enam DUN Selangor berkenaan ialah Lembah Jaya, Seri Serdang, Sungai Burung, Sungai Panjang, Kota Damansara dengan Dusun Tua.
 
Mengulas lanjut Xavier berkata, baki enam kerusi yang menjadi tuntutan keempat-empat parti komponen itu bakal diselesaikan di peringkat negeri terlebih dahulu, dalam masa terdekat. 
 
"Apa yang saya tahu, kita akan buat satu mesyuarat dan Pengerusi Negeri akan selesaikan kerusi-kerusi ini dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang," ujarnya. 
 
Tindakan Izham yang sering menjadi 'orang pertama' dengan bertindak mendedahkan status rundingan kerusi negeri itu, bukan perkara baru. 
 
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin kesal dengan tindakan Izham yang mengumumkan status rundingan kerusi di negeri itu.
 
Sebelum ini Izham mendedahkan, PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 19 kerusi daripada 56 kerusi di Selangor, manakala Amanah dan PPBM masing-masing hanya mendapat sembilan dan tujuh kerusi.
 
Manakala, DAP pula akan bertanding di semua 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU 2013.
 
Tampil membidas Izham, Sallehudin menyifatkan tindakan pengerusi Amanah Selangor itu mendedahkan rundingan kepada media sebagai tidak menghormati PH di Selangor.
 
PH Selangor diterajui Azmin yang Menteri Besar, diberi tempoh selewat-lewatnya sehingga Isnin (26 Februari) lepas untuk memuktamadkan pertindihan tuntutan kerusi sesama empat parti komponen di negeri itu sebelum diambil alih PH Pusat.
 
Namun, masih gagal memuktamadkan pada tarikh yang ditetapkan. 
 
Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah dua kerusi. PAS mempunyai 13 kerusi, manakala Umno 12 kerusi.
 
 

No comments: