BUKIT MERTAJAM: Umno Permatang Pauh menggesa Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera menyiapkan siasatan berhubung projek
terowong dasar laut Pulau Pinang, bagi memberi keadilan kepada semua
pihak, termasuk media yang melaporkan perkembangan kes berkenaan.
Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata Ketua
Menteri, Lim Guan Eng, menyalahkan pihak media yang kononnya memberi
laporan tidak betul serta mensensasikan isu terbabit bagi menampakkan
kerajaan negeri pimpinannya bersalah.
Beliau berkata, apa yang dilaporkan pihak media mengenai isu terbabit
sebenarnya adalah melalui kenyataan yang diberikan Setiausaha Agung DAP
itu sendiri serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
"Bagi saya jika berada di pihak yang benar, maka beliau tidak perlu
berasa bersalah dan memberi kerjasama terhadap siasatan ini, namun kita
hairan apabila Guan Eng berterusan menyalahkan pihak lain, antaranya
SPRM dan media.
"Apa yang sering diutarakannya adalah mengatakan bahawa laporan media
tidak betul, media sering mensensasikan isu dan tidak tahu fakta sebenar
sedangkan apa yang dilaporkan berdasarkan daripada kenyataan beliau
serta barisan EXCO pimpinannya sendiri," katanya dilapor BH Online.
Mohd Zaidi berkata demikian selepas diminta mengulas berkenaan tekanan
yang diberikan kerajaan negeri kepada SPRM dan petugas media yang
melaporkan perkembangan siasatan mengenai isu projek terowong dasar laut
itu di Bandar Perda, di sini, hari ini.
Jelasnya, siasatan SPRM dapat membantu menyelesaikan persengketaan terbabit dan membuktikan kebenaran siapa yang bersalah.
"Hasil siasatan ini kita akan lihat siapa yang berbohong samaada media
yang lapor tidak benar atau kerajaan negeri sendiri yang sering beri
kenyataan tidak benar berkenaan isu yang sedang hangat berlaku di negeri
ini," katanya.
Projek prasarana mega bernilai RM6.3 bilion itu mendapat perhatian
ramai sejurus SPRM menahan dua individu berpangkat Datuk dan memanggil
lebih 76 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak dua minggu
lalu.
Isu itu mengundang pelbagai perspektif hingga memberi tekanan kepada
pihak media yang melaporkan perkara yang berlaku apabila sering diancam
bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan